Gunakan Peluang Yang Ada Untuk Manfaat Rakyat – Norshida

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Persefahaman yang wujud dalam Kerajaan Perpaduan hari ini cukup baik namun pada masa yang sama ia perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa dalam usaha meningkatkan lagi permuafakatan yang ada.

Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata itu adalah imej kerajaan yang dibentuk pada hari ini dan sudah pasti perlu diperkemaskan sebaiknya dan rakyat bukan sahaja memerhati malah membuat penilaian sebaiknya.

“Peluang membentuk Kerajaan Perpaduan ini adalah asas kepelbagaian parti di dalamnya dan seharusnya kita buktikan kepada rakyat keberkesanan kerja kita.

“Pada masa yang sama diingatkan agar jangan ada pihak berani  menyentuh soal agama, mempergunakan agama…agama bukan bahan sendaan,” katanya kepada UMNO-Online.

Norshida yang sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap (Johor) seterusnya berkata ahli politik perlu menjadi ejen mengharmonikan suasana dan bukan menyemai hasutan pertelingkahan.

Kata beliau di Parlimen sebagai contoh, ia adalah medan terbaik bukan sahaja untuk kerajaan malah pembangkang untuk masing-masing memainkan peranan demi kepentingan rakyat.

Kata beliau lagi pihak pembangkang melaksanakan ‘check and balance’ dan pihak kerajaan pula bukan hanya sekadar menyampaikan jawapan malah memastikan segala perancangan berjalan sebaiknya.

“Sidang Parlimen ini bukan untuk melihat siapa bagus siapa tidak, siapa petah berbicara atau tidak, akan tetapi, sidang Parlimen ini untuk rakyat.

“Apa pun kita penuh yakin soal-soal seperti memperkasa kebajikan rakyat, bantuan, kemudahan, keselamatan dan sebagainya merupakan tumpuan utama selain meningkatkan nilai imej negara menerusi perancangan strategi pelaburan, penambahbaikan daya tarik untuk pelancongan, perancangan hala tuju sains teknologi supaya tidak ketinggalan.

“Begitu juga keharmonian kepelbagaian agama dan bangsa, prioriti agama Islam kerana majoriti rakyat beragama Islam. Selain itu kesiapsiagaan kualiti generasi akan datang menerusi pelan pendidikan dari usia awal hingga ke menara gading tentunya akan terus di menjadi tumpuan berterusan.

“Apa pun kita beri sepenuh pengharapan dan keyakinan kepada pihak kerajaan yang tentunya mempunyai pelbagai perancangan serta pelaksanaan untuk seluruh rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.