Realisasikan MA63 Bagi Pacu Proses Pembangunan Lebih Mampan Di Sabah – Noraini

KOTA KINABALU, 24 Mac – Terma Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu direalisasikan bagi memastikan segala hak dan tuntutan Sabah dapat ditunaikan dan ini membolehkan Sabah akan mendapat lebih banyak peruntukan kewangan dari kerajaan pusat untuk memacu proses pembangunan yang mampan di Sabah.

Menurut Senator Datuk Noraini Idris, jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain, Sabah agak jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan terutamanya dalam penyediaan infrastruktur asas seperti sistem perhubungan jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik yang semakin kritikal ketika ini.

“Kita yakin apabila perjanjian MA63 dapat direalisasikan, ia akan dapat mengubah landskap pembangunan di Sabah melalui peruntukan yang lebih besar kepada Sabah yang akan dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan bagi mengeluarkan Sabah dari garis kemiksinan tegar,” katanya ketika berucap membahaskan Ucapan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuaan Agong di Dewan Negara pada Khamis.

Menurut Noraini langkah segera bagi merealisasikan MA63 adalah jalan terbaik bagi menoktahkan kemiskinan tegar di Sabah termasuk lapan daerah yang disebut oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli di Dewan Rakyat baru-baru ini iaitu Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Ranau, Lahad Datu dan Tuaran.

Noraini berkata, kerajaan pusat perlu komited membantu Sabah dan dalam masa yang sama kerajaan negeri perlu sehaluan dalam menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini dengan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada peruntukan dari kerajaan pusat.

“Apabila adanya kolaborasi antara kerajaan pusat dan negeri bagi mengatasi isu ini, ia akan mempercepatkan lagi proses pembangunan di negeri ini terutamanya pembangunan dari aspek infrastruktur asas yang menjadi isu hangat ketika ini yang tidak selari dengan slogan kerajaan ‘Sabah Maju Jaya’ (SMJ),” katanya.

Noraini menambah dalam keadaan rakyat Sabah memerlukan pembelaan ketika ini kerajaan negeri perlu memberikan fokus untuk merealisasikan gagasan SMJ mengurangkan politiking dan menuding jari kepada kerajaan terdahulu, di mana menurut beliau sebahagian dari kepimpinan kerajaan negeri sekarang juga turut bersama dalam kerajaan sebelumnya.

“Perkara pokok yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri ketika ini ialah fokus dan tunaikan aku janji kepada rakyat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) 16 yang lalu, ini kerana rakyat Sabah mengimpikan pembangunan yang lebih baik dan selesa untuk kesejahteraan mereka,” katanya.

Dalam perbahasan tersebut, Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Sabah turut menyentuh isu kenaikan harga tiket penerbangan antara Sabah dan Semenanjung yang bukan sahaja pada hari-hari biasa malah telah menjadi budaya syarikat-syarikat penerbangan di negara ini mengaut keuntungan berlebihan terutamanya di musim cuti sekolah dan cuti perayaan terbesar di negara ini.

“Isu ini bukan isu baru, malah saban tahun berlaku bila ada musim perayaan harga tiket penerbangan melambung naik, seolah-olah syarikat penerbangan menjadikan cuti perayaan untuk mereka mengaut keuntungan sehingga membebankan rakyat,” katanya.

Sehubungan dengan itu Noraini meminta kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan agar bertindak tegas dan mengawal selia harga kenaikan harga tiket penerbangan ini, jika tidak ia akan terus berlaku dan yang menjadi mangsa adalah rakyat yang menggunakan penerbangan antara Sabah dan Semenanjung terutama golongan B40. – UMNO ONLINE

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.