UMNO Perak Gesa Isu Stokin Tertera Kalimah Allah Diselesaikan Segera

IPOH, 23 Mac – Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah menzahirkan dukacita berhubung penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart dan mahu tindakan ‘sekeras-kerasnya’ diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah berdasarkan siasatan pihak berkuasa.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad, UMNO Negeri Perak senada dalam hal ini dan mendesak agar polemik ini perlu dihentikan segera dengan mengenakan tindakan yang keras kepada pihak yang bersalah demi memberi pengajaran yang berguna buat semua rakyat Malaysia supaya lebih peka dan berwaspada dalam isu sensitif terutama melibatkan agama.

“Kalimah Allah merupakan kalimah yang tertinggi bagi umat Islam, sama ada disengajakan atau tidak, UMNO Negeri Perak tuntut tindakan sekeras-kerasnya diambil. Sesungguhnya, kejadian ini merupakan satu penghinaan kepada kesucian agama Islam yang merupakan agama Persekutuan yang dianuti oleh orang-orang Melayu.

“UMNO Negeri Perak juga ingin menzahirkan kekhuatiran jika tindakan yang sepatutnya diambil adalah lewat akan mampu mencetuskan perbalahan antara kaum. Melihat reaksi orang Islam dalam isu, keadaan ini boleh melarat jika tanpa tindakan yang tuntas,” ujar Saarani yang juga Menteri Besar Perak dalam satu kenyataan media di sini.

Tambahnya lagi, UMNO Negeri Perak juga menyokong sepenuhnya kempen yang dibuat oleh Pemuda UMNO Malaysia untuk memboikot perniagaan KK Mart sebagai tanda bantahan dan solidariti umat Islam dalam isu ini.

“Pendirian ini penting dalam memberi pengajaran dan amaran keras kepada semua pihak bahawa kesucian agama Islam tidak sama sekali boleh diperkotak-katikkan.

“Walaubagaimanapun, UMNO Negeri Perak juga mengingatkan agar setiap dari ahli UMNO kekal menjaga adab dan akhlak sebagai umat Islam yang bertindak berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah.

“Ini penting untuk terus menjaga kesucian Islam yang merupakan sebahagian dari ikrar perjuangan UMNO pertahankan selama ini,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.