Pas Perlu Adil Kepada Guru PASTI, Jangan Cipta Alasan – Fadzmel

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil menempelak Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden apabila mengatakan bahawa Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) adalah bukan tadika dan guru di pusat itu sebagai sukarelawan.

Beliau mempersoal kenyataan tersebut kerana ada bukti-bukti surat rasmi termasuk penamatan kerja yang merujuk mereka sebagai guru dan bukannya sukarelawan parti.

“Saya percaya tidak mustahil antara 9,539 guru PASTI di seluruh negara, ada yang bukan penyokong Pas tetapi mahu menjadikan bidang pendidikan awal kanak-kanak sebagai kerjaya dan punca rezeki.

“Mereka tidak memasang bendera atau dekati penduduk setempat untuk berkempen, sebaliknya tugas mereka hanya mendidik anak-anak berusia empat hingga enam tahun dalam pendidikan awal.

“Sekiranya guru tersebut hanya sukarelawan, adakah bermakna pertubuhan-pertubuhan lain boleh membayar gaji pekerja mereka tanpa mengikut akta sebab mereka inipun sukarelawan?

“Bukankah ini mempermainkan undang-undang yang dipersetujui bersama? Jadi, sejauh mana pimpinan Pas mahu berbohong demi melindungi kepentingan mereka yang menindas kebajikan guru dengan berselindung di sebalik agama?” katanya menerusi satu kenyataan.

Fadzmel yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa turut bertegas bahawa Afnan, pimpinan serta penyokong Pas perlu melihat isu PASTI ini dari sudut positif dan kemanusiaan bukan dari kaca mata politik.

Katanya lagi, walaupun dikatakan PASTI adalah aktiviti parti tetapi pusat-pusat didikan itu sudah semestinya disertai oleh pelbagai golongan tanpa mengira kecenderungan politik yang mencari pendidikan awal alternatif, khususnya berkaitan Islam untuk anak mereka.

“Maka Pas perlu bersikap adil terharap guru-guru ini. Pas perlu mencari dana tidak kira sama ada sumbangan ahli dan pemimpin parti, atau melalui syarikat dimiliki penyokongnya untuk sekurang-kurang mereka dapat gaji bulanan melebihi paras gaji minimum.

“Isu utama ialah mempertahankan hak pekerja dan masa depan murid PASTI, Afnan jangan mencipta pelbagai alasan demi menutup kepincangan pengurusan PASTI di bawah Pemuda Pas pimpinan kamu,” ujar beliau.

Baru-baru ini tular satu memo daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengenai arahan siasatan pemeriksaan berkanun terhadap PASTI.

Arahan siasatan itu turut melibatkan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dan Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam atau SMITI kerana membayar gaji rendah kepada kakitangan di bawah daripada kadar gaji minimum iaitu RM1,500. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.