Isu Stoking Kalimah Allah: Ketegasan MKT Matikan Hujah Pembangkang

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Ketegasan kepimpinan tertinggi UMNO pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam membabitkan isu penjualan stoking kalimah Allah mematikan hujah pembangkang.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Gulam Muzaffar Gulam Mustakim berkata demikian rentetan prejudis ditunjukkan oleh Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang mengatakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh hanya bersendirian dalam membawa isu ini.

“Semalam mesyuarat MKT yg dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebulat suara, merestui dan tegak menyokong tindakan Dr Akmal ke atas isu stokin KK Mart.

“Ketegasan ini amat dinantikan oleh badan bukan kerajaan dan umat Islam dalam negara kita dan secara langsung telah mematikan hujah pembangkang bahawasanya Dr Akmal bersendirian dan Presiden tidak berani bersuara secara tegas/takut dgn Dap dalam perkara ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu dalam pada itu kini menyoal kembali Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya berani membuat kenyataan seperti UMNO.

Katanya ini kerana sepanjang isu ini tular dan hangat diperkatakan tiada satu kenyataan dari pemimpin utama PN kecuali pemimpin picisan yang tidak mempunyai merit untuk diketengahkan berbanding UMNO.

Sementara itu Gulam Muzaffar juga mengarahkan kesemua 14,000 ahli-ahli UMNO dan keluarga mereka di bahagian dan cawangan untuk membuat tindakan memboikot KK Mart untuk memberi tekanan membabitkan isu ini.

“Pada pandangan saya dengan kekuatan 3.5 juta ahli UMNO di seluruh negara tidak termasuk ahli-ahli keluarga lain boleh memberi impak dan kesan yang menggerunkan kepada KK Mart.

“Ayuh kita sama-sama laksana dan mulakan tindakan boikot ini dari rumah UMNO agar masyarakat Islam dalam negara kita agar tahu bahawasanya UMNO kekal istiqomah dalam perjuangannya bagi mempertahankan kesucian Islam dan agenda orang Melayu walaupun berada bersama Dap dalam Kerajaan Perpaduan,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.