Cetak Kalimah ‘Allah’ Pada Stoking Hina Islam, Kewajipan Pelihara Dan Lindungi Agama – Mohamad


KUALA LUMPUR, 23 Mac – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan insiden mencetak kalimah suci ‘Allah’ pada stoking menghina umat Islam dan mencemarkan kepercayaan utama lebih daripada 1.5 bilion di seluruh dunia.

Katanya, gelombang rasa tidak puas hati dan kemarahan yang tercetus ketika ini bukanlah sesuatu yang tidak wajar kerana sebagai umat Islam yang taat kepada agama, adalah menjadi kewajipan untuk memelihara dan melindungi agama dalam apa jua cara sekalipun.

“Mungkin akan ada yang menganggap reaksi kepada isu ini sebagai ‘melampau’. Saya percaya perkara yang sama turut akan terjadi kepada penganut agama apa sekalipun sama ada Kristian, Yahudi, Buddha, Hindu, Konfusianisme, Tao, Sikh, dan lain-lain.

“Apabila ada yang menjentik kepercayaan yang dianuti, mereka juga akan melakukan apa yang perlu bagi mempertahankan kepercayaan masing-masing,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mohamad yang juga Menteri Luar berkata seperti mana saudara Islam yang lain, beliau juga melahirkan rasa amat dukacita dan terkejut dengan amalan perniagaan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) yang mengundang persoalan setelah menjual stoking yang mengandungi kalimah suci berkenaan.

Jelas beliau lagi, di negara majmuk seperti Malaysia, tindakan sebegitu jelas menyinggung perasaan umat Islam dan boleh menggugat keharmonian negara.

“Sejak isu ini tercetus, pihak tertentu telah menggunakan media sosial untuk membela mereka yang bertanggungjawab sama ada pemilik rangkaian kedai serbaneka itu atau pembekal, Xin Jian Chang Sdn Bhd.

“Saya terpaksa mengingatkan kepada provokator bahawa isu ini bukan isu Melayu. la bukan isu perkauman dalam apa jua bentuk. la juga bukan isu partisan, sama ada dari UMNO, MCA, DAP, PN atau PH. Dengan jelas, ini adalah isu agama,” tegas beliau.

Beliau dalam pada itu berkata walaupun masih belum dapat dibuktikan sama ada perbuatan ini dilakukan secara berniat jahat atau ia kejahilan di pihak mereka, namun syarikat tersebut tetap telah melakukan kesalahan.

“Jika pelaku dibuktikan bersalah kelak, saya pasti bahawa prosiding undang-undang boleh menentukan hukuman yang sesuai untuk provokator. la akan menyediakan satu bentuk pencegahan dan tindakan yang tegas demi perpaduan agama.

“Sekiranya pelaku terbukti tidak cana akan kesan daripada tindakan mereka, maka kita mesti mengambil langkah yang tuntas untuk memastikan agar kejadian ini tidak akan berulang lagi. Tetapi bagaimana kita mampu melakukannya?

“Jawapannya adalah dengan menggalakkan peningkatan toleransi beragama.memerlukan pemupukan saling hormat-menghormati, persefahaman, dan penerimaan pada kalangan penganut agama yang lain,” ujar beliau.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau turut menambah bahawa terdapat garis merah yang perlu sentiasa diperhatikan serta dihormati dan menyifatkan pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha ini iaitu bagi melengkapkan individu dengan pengetahuan dan empati yang diperlukan untuk menghargai kepelbagaian agama.

Menurut beliau lagi pemeliharaan keharmonian beragama menjadi tonggak kestabilan dan kemajuan masyarakat dan kepentingan untuk menjaga keharmonian ini usah dipertikaikan, kerana ia bukan sahaja memastikan kewujudan bersama secara aman tetapi juga memupuk rasa perpaduan dan kekuatan kolektif di kalangan rakyat Malaysia.

“Negara kita berada pada satu persimpangan yang penting, di mana perpaduan bukan hanya satu kebaikan, tetapi satu keperluan strategik.

“Dengan bersatu hati sesama kita sebagai warganegara, mengatasi jurang agama, etnik dan budaya, kita pastinya dapat memanfaatkan kekuatan kolektif tanah air ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.