Ahmad Zahid Santuni Warga Labuan, Umum Peruntukan RM3.64 Juta Projek Pembangunan

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meneruskan Jelajah Santunan Kasih Ramadan yang seterusnya iaitu ke Labuan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyantuni pemimpin dan masyarakat Labuan di Masjid Al-Sultan Abdullah, Kampung Sungai Bedaun.

“Sudah lama kiranya saya tidak dapat menjejakkan kaki di bumi Labuan ini dan keunikan wilayah ini masih terserlah dengan suburnya keharmonian masyarakat tanpa membezakan kedudukan, bangsa dan agama.

“Apatah lagi, Labuan sendiri pernah diiktiraf sebagai wilayah sangat bahagia di Malaysia melalui Skor Indeks Kebahagiaan (MHI) tahun 2022,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata kehadiran KKDW bukan sekadar untuk menjamu juadah berbuka tempatan tetapi komited dalam membangunkan wilayah ini dengan menambahbaik pembangunan infrastruktur, pendidikan dan meningkatkan lagi potensi usahawan buat warga Labuan.

“Saya berharap, melalui peruntukan yang telah disediakan hari ini ia dapat membantu Labuan untuk terus berdaya saing serta meningkatkan sisio-ekonomi dan kesejahteraan masyarakat Labuan keseluruhannya,” ujar beliau.

Terdahulu Ahmad Zahid telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3.64 juta untuk pelbagai projek pembangunan infrastruktur, program rakyat, kemudahan awam dan perumahan di pulau bebas cukai ini pada 2024.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta diperuntuk bagi 20 projek jalan perhubungan desa (PJD) manakala RM500,000 untuk 10 projek di bawah program ameniti sosial. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.