UMNO Terus Dukung Kerajaan Perpaduan, Sokong Usaha Kekalkan Kestabilan Negara

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan dalam usaha mengekalkan kestabilan di negara ini.

Menurut beliau permuafakatan yang telah dicapai dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan terus diperkemaskan sebaiknya.

“Alhamdulillah kami telah capai beberapa keputusan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT)  yang mana antaranya insya-Allah kita terus istiqamah dan mendukung  perpaduan di kalangan Kerajaan Perpaduan.

“Kita mahu kestabilan politik negara dipertahankan dan insya-Allah… dalam banyak PRK/PRN kita telah perlihatkan kesatuan di kalangan parti komponen BN/Friends of BN dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau bekata demikian pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Malaysia, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN)  memberitahu pihaknya akan memberi laluan kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu ekoran berlaku kekosongan di kawasan tersebut.

“Kita ketahui bahawa DUN Selangor, Kuala Kubu Bharu kosong ekoran ADUNnya meninggal dunia dan kami merasakan bahawa walaupun jumlah pengundi Melayu di situ telah meningkat,  demi menghormati Kerajaan Perpaduan saya merasakan bahawa rakan-rakan di dalam UMNO/BN harus hormati kerusi itu parti Kerajaan Perpaduan.

“Siapa calon yang diumumkan, BN akan turun membantu dan biarpun tarikh belum diumumkan…dan mudah-mudahan kita dapat terus jalin hubungan ini supaya Kerajaan Madani terus kukuh,” tambahnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong meninggal dunia beberapa hari lalu.

Mendiang yang menjadi ADUN di kawasan tersebut selama tiga penggal dilaporkan mengidap barah.

Terdahulu Ahmad Zahid bersama barisan kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi meraikan anak-anak yatim dan pimpinan UMNO pada majlis berbuka puasa UMNO Malaysia yang diadakan di Dewan Tun Razak Tiga, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Turut serta Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta pimpinan UMNO yang lain.

Majlis berkenaan turut dihadiri pimpinan BN yang lain dan turut diadakan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih.

Ahmad Zahid dalam ucapannya turut mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menyambut Aidilfitri kepada seluruh umat Islam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.