Majlis Berbuka Puasa UMNO Malaysia Penuh Kesyukuran, Raikan Anak-anak Yatim

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Majlis berbuka puasa UMNO Malaysia berjalan dengan lancar dan meriah meskipun diadakan dalam keadaan yang sederhana.

Diadakan di Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, majlis tersebut bermula seawal jam 6.00 petang dengan ketibaan para tetamu dan jemputan khas termasuk anak-anak yatim turut dirai.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba pada jam 6.25 petang dan majlis dimulakan dengan nyanyian lagu ‘Negaraku’ serta ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

Majlis diteruskan dengan bacaan doa diikuti ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid seterusnya turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim yang diraikan pada majlis berbuka puasa ini.

Sebelum berbuka puasa, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Khairudin Aman Razali telah menyampaikan tazkirah Ramadan dan mengingatkan para hadirin untuk terus menghargai nikmat bulan yang mulia ini.

Seusai berbuka puasa, solat Maghrib, Isyak dan sunat tarawih telah diadakan secara berjemaah diikuti dengan moreh.

 

Antara kepimpinan tertinggi yang hadir adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Turut hadir, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Bendahari Agung, Datuk Seri Dr Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Dato Seri Azalina Othman.

Terdahulu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) telah diadakan sebelum majlis berbuka puasa pada jam 3.00 petang.

Majlis berbuka puasa UMNO Malaysia ini melibatkan para pemimpin parti bersama ahli dan ia merupakan acara tradisi yang akan diadakan saban tahun dengan matlamat untuk mengeratkan silaturahim. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.