Isu Kalimah Allah: UMNO Dukung Titah Agong, Seru Rakyat Jadikan Pengajaran

KUALA LUMPUR, 22 Mac – UMNO mendukung penuh titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu tindakan keras diambil kepada mana-mana pihak didapati terlibat dalam usaha meremeh dan memperlekeh kalimah Allah.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, UMNO amat prihatin dengan beberapa isu sensitif berlegar terutamanya yang menyentuh kesucian agama Islam.

“UMNO amat prihatin dengan beberapa isu sensitif yang menyentuh kesucian agama Islam, polemik perkauman dan mampu mencetuskan suasana ketidakharmonian dalam masyarakat majmuk negara ini.

“Isu-isu seperti gugatan kepada aqidah Islam dalam filem ‘Mentega Terbang’, cadangan pewartaan Kampung Baharu Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Bak Kut Teh dan terkini isu kalimah Allah di stoking kaki adalah sebahagian daripada isu yang menjadi polemik memudaratkan.

“Sehubungan itu, UMNO berpendirian tegas dan teguh dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menyarankan agar semua lapisan masyarakat menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif membabitkan raja, kaum dan agama (3R),” katanya pada satu sidang media yang diadakan selepas mesyuarat MKT di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), sebentar tadi.

Tegasnya, UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua tindakan yang memperkotak-katikkan kesucian agama Islam.

“Malah, UMNO turut mendokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati curang dan terlibat dalam sebarang usaha meremeh dan memperlekeh kalimah Allah.

“Sebagai parti yang menjadi benteng dan pemelihara kepada kedaulatan Islam dan kepentingan bangsa, UMNO tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua tindakan yang memperkotak-katikkan kesucian agama Islam.

“Demi memelihara keharmonian, kerukunan dan perpaduan rakyat berbilang kaum serta agama yang sudah lama terbina di negara tercinta ini, UMNO menyeru semua rakyat agar isu-isu mutakhir ini dijadikan sebagai sempadan dan pengajaran penting supaya tidak berulang kembali,” katanya lagi.

Sebelum ini, tular di media sosial tentang kewujudan stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian runcit tersebut.

Pengendali kedai rangkaian serbaneka tersebut telah tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berkenaan di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

KK Mart dalam satu kenyataan berkata, tindakan serta-merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut.

Terdahulu, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Justeru, Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.