Ahmad Zahid Ucap Tahniah Kepada Prabowo, Percaya Hubungan Malaysia-Indonesia Terus Erat


KUALA LUMPUR, 22 Mac – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan salam tahniah kepada Prabowo Subianto selepas dipilih sebagai Presiden Indonesia yang baharu.

Beliau menerusi hantaran dalam laman Facebooknya percaya bahawa hubungan Malaysia dan Indonesia akan terus erat.

“Setinggi tahniah saya ucapkan kepada sahabat saya Yang Mulia Bapak Prabowo Subianto yang kini telah menjadi Presiden Indonesia yang baharu.

“Saya percaya hubungan bersaudara di antara Malaysia dan Indonesia akan terus erat, lebih-lebih lagi dalam usaha meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan, melalui jalan perpaduan, pelaburan dan perdagangan.

“Saya doakan Pak Prabowo dapat melaksanakan amanah memimpin dengan baik dan memacu Indonesia ke arah kecemerlangan. Mudah-mudahan dipermudahkan oleh-Nya. Insya-Allah ketemu nanti,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) mengumumkan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden dan Naib Presiden (Pilpres) 2024.

Berdasarkan kiraan undi di 38 wilayah Indonesia dan 128 pusat pengundian di luar negara, Prabowo-Gibran mendapat 58.6 peratus atau 96,214,691 undi daripada 164,227,475 undi, menurut pengumuman KPU pada Rabu malam.

Dua pencabarnya iaitu Anies Baswedan pula memperoleh hampir 41 juta undi atau 24.9 peratus daripada jumlah keseluruhan manakala Ganjar Pranowo menerima 27 juta undi atau lebih 16 peratus. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.