UMNO Tak Main Politik, Angkat Isu Rakyat Demi Kesejahteraan – Jeffery Nor

PUTATAN, 21 Mac – Pengerusi Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed menolak dakwaan kononnya bermain politik sedangkan beliau mengangkat isu berkaitan air demi kepentingan rakyat tempatan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata setiap kritikan yang ditimbulkan adalah berasaskan dengan sesuatu yang membina dan untuk memberi kebaikan kepada rakyat secara holistik.

“Kita tinggal dalam dunia era politik baharu, saya tidak menghentam tapi memberi cadangan dan kritikan untuk penambahbaikan agar ada penyelesaian,” katanya yang membidas dakwaan terbabit.

Hal ini timbul berikutan teguran yang disuarakan oleh Jeffery Nor terhadap Kerajaan Negeri Sabah ekoran masalah air yang masih berlarutan.

Katanya, rakyat terbeban dengan permasalah yang tidak pernah selesai malah makin parah sejak beberapa hari ini.

“Sekarang rakyat berdepan permasalahan berkaitan isu air yang saban hari tak ada penyelesaian. Kasihan pada rakyat, dulu kemarau juga tetapi tidak seteruk kali ini dan jika ada persediaan dibuat maka tentunya rakyat tidak akan terbeban.

“Dulu ada juga jadual penghantaran air yang dimaklumkan terlebih dahulu tetapi sekarang seakan ikut suka hati, bila dan dimana mahu hantar, ada logo parti politik lagi.”

Tegasnya, soal keperluan asas tidak sewajarnya menjadi bahan politik.

“Sebelum ini kita pernah ingatkan tapi macam-macam alasan diberi, paip bocorlah dan sebagainya.

“Sekarang semuanya kos meningkat dan apabila disaran untuk membeli lori air tangki maka jawabnya tiada keperluan, apabila diminta untuk buat pembenihan awan katanya tunggu peruntukan dari pusat sedangkan rakyat yang menderita,” katanya.

Jelasnya, sedaya upaya beliau bersama-sama jawatankuasa UMNO turun padang dan berusaha membantu dalam kekangan yang amat terhad.

“Semalam saya bersama rombongan Ketua Wanita UMNO Bahagian Putatan serta beberapa orang ahli jawatankuasa bahagian dan juga kepimpinan PDM Pulau Gaya telah menyerahkan sumbangan kepada 105 anak-anak dari kampung-kampung yang berada dalam Pulau Gaya.

“Nampak ceria semua biarpun menghadapi pelbagai masalah dan berdepan ketiadaan air sekarang. Memang Pulau Gaya menjadi salah satu tempat dalam Parlimen Putatan yang pasti untuk saya hadir melihat pelbagai permasalahan di sini.

“Saya mengharapkan dengan sedikit sumbangan ini dapat membantu anak-anak menyempurnakan keperluan persekolahan mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.