UMNO Kota Kinabalu Pelbagaikan Titik Sentuhan, Manfaat Ramadan Untuk Bersama Masyarakat

KOTA KINABALU, 21 Mac – UMNO Bahagian Kota Kinabalu memanfaatkan Ramadan dengan menggerakkan program turun padang bersama jentera parti sebagai platform bagi mendekatkan UMNO bersama masyarakat.

Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu, Musliati Moslimin berkata, walaupun UMNO bahagian itu terletak di kawasan bandar namun seperti tahun-tahun sebelum ini gerak kerja terus dilaksana menerusi program mendekati rakyat.

Katanya, sempena bulan Ramadan, UMNO Bahagian Kota Kinabalu telah melaksanakan pelbagai program turun padang menemui dan menyampaikan sumbangan kepada masyarakat antaranya sumbangan kewangan dan kurma kepada masjid-masjid dan surau di sekitar Kota Kinabalu, agihan bubur labuk kepada pengunjung bazar Ramadan di samping pemberian air balang percuma dan sumbangan juadah berbuka kepada pemandu ‘e-hailing’ dan ‘food rider’ secara pandu lalu.

“Program-program yang kita laksanakan ini berjaya merapatkan hubungan antara UMNO bersama masyarakat setempat dan ini secara langsung memberi makna bahawa UMNO itu sebenarnya hidup di tengah-tengah kehidupan rakyat dan melaksanakan program mendekati orang ramai tanpa mengira fahaman agama, politik dan bangsa,” katanya ketika ditemui selepas mengaih-agihkan makanan untuk berbuka kepada pemandu ‘e-hailing’ dan ‘food rider’ di sini, baru baru ini.

Menurut Musliati yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia, titik sentuhan antara UMNO dan masyarakat luar parti perlu sentiasa ditingkatkan selain sentuhan bersama dengan ahli serta jentera UMNO di semua peringkat dipelbagaikan kerana kedua-duanya cukup penting dan mempunyai peranan tersendiri.

“UMNO perlu pelbagai titik sentuhan bersama rakyat bagi menunjukkan KPI parti dan ini adalah kesungguhan kerana jika tidak jentera parti tidak akan fokus kepada program dalaman yang dilaksanakan.

“Memang program dalaman parti itu penting namun kita perlu akur pengundi di luar UMNO jauh lebih besar yang perlu kita santuni dan ini sedikit sebanyak dapat menarik sokongan mereka untuk kembali bersama-sama UMNO,” katanya.

Musliati menambah UMNO perlu terus ke depan dalam soal kebajikan apatah lagi pada bulan Ramadan ini tidak semua orang dapat melaksanakan ibadah puasa dalam keadaan serba lengkap kerana masih ada golongan yang kekurangan dan memerlukan bantuan.

“Lazimnya UMNO dan jentera UMNOlah yang terkedepan dalam program kemasyarakatan khususnya pada bulan mulia ini malah ini adalah program sinonim dengan kita untuk dilaksana setiap kali Ramadan tiba,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.