Jangan Remehkan Kalimah Allah, Pemimpin Politik Perlu Jadi Pembina Jambatan Erat Perpaduan

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Kenyataan beberapa pimpinan parti yang menganggap perkara kalimah Allah pada stoking sebagai perkara remeh dan sengaja diperbesarkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh merupakan tindakan jahil, demikian tegasnya Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Jempol, Faizal Otthman.

Jelasnya, sewajarnya mana-mana pemimpin parti politik perlu menjadi pembina jambatan dalam mengeratkan semangat perpaduan di negara ini.

“Seharusnya pemimpin tersebut lebih bersifat sensitif dalam menyatakan pendirian mereka berkaitan isu 3R (agama, raja dan kaum). Kejahilan pemimpin tersebut menggambarkan betapa nipisnya semangat perpaduan di negara kita kini.

“Saya sangat menyokong tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Salleh yang lantang dan tegas dalam memperjuangkan isu ini. Sewajarnya perkara sebegini tidak boleh diremehkan mahupun dipersendakan kerana kalimah Allah harus dipertahankan oleh rakyat beragama Islam.

“Umat Islam di negara ini perlu bertegas dan terus memboikot barangan KK Mart, kali pertama bolehlah berbincang, tapi perkara sebegini sering berlaku dan berulang-ulang. Lagi pun negara ini ada undang-undang,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Justeru, beliau menyokong agar pihak berwajib bersikap lebih tegas dan jangan memilih bulu serta mengambil tindakan ke atas mereka.

Seterusnya kata Faizal, kerajaan harus meneliti semula program kenegaraan dan sebenarnya amat baik membantu masyarakat Malaysia untuk lebih mencintai negara selain memupuk sikap saling menghormati dan memahami.

“Pihak kerajaan harus meneliti semula program kenegaraan yang pernah dilaksanakan seperti PLKN dan ia dilihat amat berkesan dalam membentuk perpaduan antara kaum.

“PLKN juga dapat memupuk perpaduan nasional dan semangat cintakan negara agar generasi akan datang lebih sensitif. Melaluinya, remaja pelbagai kaum akan ditempatkan bersama di bawah satu bumbung.

“Mereka akan bekerjasama untuk menjalankan aktiviti bersama-sama, berinteraksi dan bergaul mesra. Dengan itu, mereka akan terdedah kepada corak hidup masyarakat majmuk secara mendalam,” jelas beliau lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.