Isu Kalimah Allah: Junjung Kasih Titah Tuanku, Semoga Isu Stoking Jadi Pengajaran – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong mengenai isu kalimah Allah dan berharap agar isu tersebut menjadi pengajaran semua pihak.

Tegasnya, isu kalimah Allah adalah yang tertinggi dalam senarai sensitiviti kepada umat Islam walau di mana pun mereka berada.

“Ampun Tuanku, menjunjung kasih Tuanku. Isu kalimah Allah adalah yang tertinggi dalam senarai sensitiviti kepada orang Islam di mana pun mereka berada. Semoga isu stoking ini jadi pengajaran dan tidak timbul lagi hal seumpamanya pada masa akan datang.

“Perkataan Allah, Muhammad, Al-Quran, Islam, Kaabah, solat, azan, puasa, zakat, haji, nabi, syariah, masjid, surau, tahfiz, halal dan seumpamanya adalah amat sensitif serta penting kepada kehidupan umat Islam di mana jua. Maka jangan sesekali disentuh oleh mereka yang tidak arif atau disalahguna.

“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri 1 telah bersuara. Pemuda UMNO tentunya. Rakyat biasa juga. Islam adalah agama bagi Persekutuan. Maka hormati apa yang termaktub dalam Perlembagaan itu adalah penting. Umat Islam diajar agar tidak menghina agama lain kerana kepada kami ‘untukmu agamamu, untukku agamaku’,” katanya menerusi hantaran di laman X.

Sebelum ini, tular di media sosial tentang kewujudan stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian runcit tersebut.

Pengendali kedai rangkaian serbaneka tersebut telah tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berkenaan di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

KK Mart dalam satu kenyataan berkata, tindakan serta-merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut.

Terdahulu, media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Justeru, Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.