UMNO Negeri Sembilan: ‘Modal Besar’ Kerjasama Semua Pimpinan Antara Ramuan Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Genap setahun menggalas amanah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya terus mengorak langkah bersama pimpinan lain dalam usaha memperkemas apa-apa lompong yang ada bagi memastikan UMNO negeri itu terus relevan lantas mencipta kejayaan kelak.

Berkongsi dengan UMNO-Online, beliau yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan  mengimbau perit-jerih sejurus diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti setahun yang  lalu.

“Memimpin UMNO dalam tempoh tiga bulan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan satu tugas yang mudah… tetapi saya ambil cabaran itu dan saya mendapat ‘modal’ yang sangat besar apabila mendapat kerjasama sepenuhnya dari semua ketua-ketua UMNO bahagian dan pimpinan yang lain serta sayap.

“Kita bina satu pendekatan yang baharu serta bina persefahaman dan kekuatan yang luar biasa… kita mulakan itu sebagai gerak kerja awal untuk mendapatkan keyakinan semula orang Melayu di Negeri Sembilan,” katanya.

Kata beliau lagi setelah mendapat kepercayaan serta kerjasama daripada pimpinan yang lain, langkah seterusnya digerakkan sebaik mungkin.

“Apabila kita dah dapat kepercayaan walaupun tidak sepenuhnya 14 daripada 17 DUN yang ditandingi dan banyak tempat kita mengalami kekurangan majoriti… tidak mengapa…ini permulaan yang sangat baik.

”Selepas kita menghadapi serta mencipta kejayaan sedemikian rupa, kita mulakan pula dengan langkah seterusnya iaitu UMNO di Negeri Sembilan mesti mempunyai satu suara serta pendekatan yang berterus terang.

“Kita mesti mempunyai satu pasukan… ’tag line’ ‘Kita Gerak Bersama’. Kita membina satu pasukan dan satu pemikiran serta pendekatan untuk mewakili suara akar umbi yang dipimpin oleh UMNO. Kita tidak boleh berpecah dan ini yang kita bawa sehinggalah ke hari ini.”

Tambahnya lagi dalam usaha memperkasakan kedudukan serta kepercayaan rakyat,  perjumpaan bersama ADUN dan pimpinan diadakan secara berkala.

Langkah ini beritahu beliau akan memberi ruang yang seluasnya untuk berbincang secara dua hala sekaligus menyampaikan segala permasalahan yang dilontarkan oleh masyarakat di bawah.

“Pada masa yang sama kita adakan perjumpaan dari semasa ke semasa… setiap bulan dengan ADUN dan sebagainya.

“Sebagai pengerusi perhubungan kita adakan perbincangan ‘performance’ ADUN tersebut di kawasan masing-masing. Kalau saya dapat laporan daripada pengundi saya akan lontarkan semasa sesi berkenaan untuk sama-sama perbaiki… kerana saya tidak mahu memperjudikan kerusi atau kawasan itu atas kelemahan yang ada.

“Saya nampak sambutan bagus dan masing-masing menerima dengan terbuka dan saya penuh yakin persefahaman yang begitu baik dalam parti dapat dikekalkan… insya-Allah  saya percaya UMNO Negeri Sembilan akan tetap menjadi relevan,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.