RCI Batu Puteh Tidak Boleh Hukum Mana-mana Pihak – Azalina

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji pengendalian kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan tidak boleh menghukum mana-mana pihak dalam kes berkenaan kerana ia bukan bawah bidang kuasa suruhanjaya itu, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, penubuhan RCI itu sebaliknya bertujuan menjadi “misi mendapatkan maklumat” agar proses pengumpulan maklumat kes itu dapat dilaksanakan dengan baik, sekali gus menyelesaikan isu-isu berbangkit yang dihadapi pasukan petugas khas.

“Hendak bercakap tentang hukuman, bukan bidang kuasanya, (RCI) tidak boleh menghukum. (RCI) hanya ada kuasa menghukum jika orang yang dipanggil tidak mahu datang. (Suatu) penghinaan bila dipanggil (tetapi tidak datang), satu kesalahan bawah Seksyen 13,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Mohamad Fatmi Che Salleh mengenai implikasi kes itu kepada negara berikutan kesalahan tersebut amat berat dan hukuman boleh dikenakan kepada pesalah.

Pada 14 Feb, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan penubuhan RCI itu, berkuat kuasa serta merta.

RCI itu ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) dan dipengerusikan oleh bekas ketua hakim negara Md Raus Sharif.

Azalina berkata, hasil siasatan RCI itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk menentukan hukuman jika perlu, sebelum dibentangkan secara menyeluruh kepada Agong.

“Komitmen daripada kerajaan Madani selepas proses ini, kita akan bentang ke Parlimen supaya Dewan Rakyat, Dewan Negara dapat melihat sebenarnya apa yang telah berlaku, kenapakah perkara ini boleh berlaku dan apakah sepatutnya dijalankan supaya jangan lagi perkara ini berulang,” katanya.

Menjawab soalan asal Mohamad Fatmi mengenai manfaat penubuhan RCI itu, Azalina berkat, terma rujukan RCI yang dibentuk itu jelas membenarkannya memiliki kelebihan kuasa untuk melaksanakan siasatan secara lancar.

“Antara terma rujukan RCI adalah mendapatkan penemuan keterangan lanjut yang berkaitan, menyemak, mengkaji dan menyediakan pandangan jika mana-mana pihak yang berkaitan melanggar sebarang undang-undang, norma kerja atau pekelilingan pentadbiran dalam pelaksanaan tanggungjawab.

“(Di samping itu) Menilai, mengenal pasti dan mencadangkan syor berkenaan dengan tindakan perundangan dan bukan perundangan yang boleh diambil, dan menyediakan laporan yang mengandungi hasil kajian, analisis serta syor yang berkaitan untuk pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya.

Setakat ini, katanya, 20 hingga 30% siasatan telah dilaksanakan oleh RCI dan difahamkan ada beberapa individu serta saksi akan dipanggil selepas Aidilfitri untuk memberikan keterangan berkaitan kes itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.