Isu Stoking Kalimah Allah: Zahir Ketegasan… Puteri UMNO Junjung Kasih Titah Agong

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Barisan kepimpinan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menjunjung kasih di atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan ketegasan berhubung isu penjualan stoking kaki yang tertera kalimah Allah di salah satu rangkaian kedai serbaneka KK Mart.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, ketegasan baginda menunjukkan kebersamaan umat Islam seluruh Malaysia menjaga kesucian agama Islam.

“Barisan kepimpinan Puteri UMNO Malaysia menjunjung kasih diatas titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam menzahirkan ketegasan berhubung isu penjualan sarung kaki yang tertera kalimah Allah di salah satu rangkaian kedai serbaneka KK Mart.

“Ketegasan Baginda agar pihak berkuasa mengambil tindakan sekeras-kerasnya terhadap mana-mana syarikat yang bersalah menunjukkan kebersamaan umat Islam seluruh Malaysia menjaga kesucian agama dan memelihara keharmonian negara berbilang bangsa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, peringatan tersebut turut menyematkan rasa hormat antara satu sama lain seperti titah Baginda di Parlimen pada sidang pertama Dewan Rakyat.

“Peringatan ini memberi satu tamparan hebat kepada mana mana pihak di luar sana agar tidak mengulangi kesilapan sekaligus menyematkan rasa hormat antara satu sama lain, seperti titah sulung Baginda di Parlimen tempoh hari.

“Didoakan agar KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekeluarga dilindungi dan dirahmati oleh Allah SWT,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial tentang kewujudan stoking tertera kalimah Allah yang dijual secara terbuka di rangkaian runcit tersebut.

Pengendali kedai rangkaian serbaneka tersebut telah tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berkenaan di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya.

KK Mart dalam satu kenyataan berkata, tindakan serta-merta telah diambil dengan memberhentikan penjualan stoking tersebut.

Semalam media melaporkan, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.

Justeru, Seri Paduka Baginda bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.