Pemuda UMNO Lahad Datu Jadi Saluran Bantu Rakyat Tangani Permasalahan

KUNAK, 25 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu, Datuk Seri Dr Anil Sandhu menjadi saluran kepada rakyat tempatan yang mahukan kerajaan membantu dalam permasalahan khususnya berkaitan risiko banjir yang saban tahun berlaku di Kampung Air Port Tun Fuad di sini.

Katanya, terdapat sekitar 36 buah kampung di kawasan tersebut namun Kampung Air Port Tun Fuad merupakan perkampungan yang saban tahun akan berhadapan dengan masalah banjir hingga menjejaskan kehidupan mereka.

“Sememangnya kita tidak boleh mengelak bencana alam yang berlaku, bagaimanapun kerajaan terutamanya jabatan atau agensi yang terlibat perlu ada perancangan teliti bagaimana untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan ini.

“Antara tindakan yang boleh dilakukan ialah meluruskan atau mendalamkan sungai di kampung tersebut iaitu langkah ini dapat mengurangkan risiko banjir, selain mempercepatkan aliran air keluar cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau keadaan selepas banjir di kampung tersebut dan seterusnya menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mangsa-mangsa yang terlibat, baru-baru ini.

Menurut Anil yang juga Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, peranan proaktif perlu dimainkan bagi mencari jalan penyelasaian untuk memohon peruntukan dari kerajaan atau menggunakan peruntukan lain bagi melaksanakan projek demi mengatasi masalah banjir di kawasan tersebut.

“Diperingkat Pemuda UMNO sememangnya kita tidak mempunyai peruntukan untuk menyelesaikan isu ini, namun usaha kita menyuarakan kepada pihak berkenaan untuk mencari penyelasaian sentiasa diaplikasi,” katanya.

Menurut beliau apa yang termampu dilakukan oleh Pergerakan Pemuda UMNO tempatan ialah menghulurkan sedikit sumbangan untuk meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat.

Anil juga turut menyentuh mengenai sistem perhubungan jalan raya ke kampung tersebut yang terkesan dan mengalami kerosakan selepas dilanda banjir malah beliau meminta pihak berkenaan mengambil langkah segaea untuk memperbaikinya ini kerana ianya merupakan laluan utama penduduk di kawasan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan Anil juga meminta Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam daerah agar dapat menyediakan sebuah bot untuk kegunaan penduduk di kampung tersebut.

Menurut beliau bot merupakan keperluan penting yang akan digunakan oleh penduduk terutamanya apabila berlaku banjir dan berlaku kes-kes kecemasan malah pemindahan penduduk kampung ke tempat yang lebih selamat dapat dilaksana lebih cepat. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.