Kongres Ekonomi Bumiputera Tidak Harus Dipolemik, Martabat Agenda Pembangunan – Dr Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) tidak harus dijadikan polemik atau dianggap langkah untuk menafikan hak bukan bumiputera.

Katanya yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), lebih berpaksikan kepada matlamat utama untuk merangka strategi terbaik bagi mengangkat tahap sosial dan ekonomi yang jelas termaktub dalam Perlembagaan 153.

Terdahulu beliau berucap pada Simposium KEB 2024 bagi kluster reformasi pendidikan dan modal insan di sini, hari ini.

Katanya, MARA menganjurkan Simposium tersebut sebagai pemanas badan bagi membuka ruang perbincangan kepada seluruh lapisan masyarakat untuk melontarkan idea mereka terhadap pembangunan sosio-ekonomi bumiputera.

“Simposium hari ini memfokuskan kepada Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan serta Kluster Daya Saing Perusahaan Bumiputera yang sangat berkait rapat dengan MARA, peserta berpartisipasi secara aktif dalam perbincangan berbentuk forum ini bersama para panelis-panelis pakar yang dijemput untuk memberi perkongsian.

“Semoga dengan penganjuran simposium akan memberi input penting bagi ‘take away’ dan output pada kemuncak KEB24′ bagi memartabatkan agenda pembangunan sosio-ekonomi bumiputera ini yang populasi terdiri daripada seramai 21.33 juta rakyat (70.1%) di seluruh Malaysia,” katanya lagi.

Kongres Ekonomi Bumiputera bakal diadakan pada 29 Februari hingga 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bertema “Positif, Progresif, Inovatif”, KEB 2024 ialah landasan penting dalam mencari jalan lebih serius bagi memperkasakan ekonomi bumiputera khususnya dalam aspek teknologi baharu dan pelan futuristik untuk generasi akan datang.

Antara objektif program kongres tersebut ialah untuk merangka hala tuju dan pendekatan baharu bagi memperkasa ekonomi Bumiputera untuk Kluster 1 iaitu Transformasi Pendidikan dan Modal Insan.

Dijangkakan seramai 5,000 peserta termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan akan hadir. Selain itu, program itu turut terbuka untuk orang ramai di mana pameran dan juga gerai-gerai usahawan akan dibuka. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.