#HitamPutihKelabu: Sistem Sealiran Bakal Beri Kelebihan Kepada Negara Dan Pekerja – Dr Norma

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Norma Mansor percaya sistem yang sama antara sektor kerajaan serta swasta akan memberi kelebihan dan manfaat yang menyeluruh.

Bagi beliau kepakaran yang ada antara pekerja kedua-dua sektor berkenaan membolehkan masing-masing untuk melangkah dan berkhidmat di sektor mana yang boleh memberikan keuntungan kepada diri masing-masing sekaligus dapat memberi impak kepada negara itu sendiri.

“Jika ditanya hari ini memang betul seolah-olah ada perbezaan sedangkan kedua-dua sektor ini memberikan sumbangan ke arah produktiviti dan ekonomi negara. Jadi sekiranya kita mempunyai satu sistem dan tabungan itu adalah ‘portable’, saya tidak kira saya bekerja di sektor awam mahu pun swasta saya bawalah sistem tabungan itu sepertimana di negara lain.

“Ini tidak…rugi kalau  saya di bawah sistem pencen tiba-tiba saya pergi ke sektor swasta saya rasa macam rugi saya punya ‘contribution’…contohnya. Dengan cara itu juga kita boleh dapatkan pakar-pakar daripada sektor swasta untuk masuk ke dalam ‘public sector’…sebab ramai juga pakar dalam bidang kerajaan ini yang boleh digunakan untuk  sektor swasta juga. Jadi dengan cara itu kita akan lebih ‘synergy’ di situ dan akan meningkatkan produktiviti serta ekonomi negara lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program #HitamPutihKelabu,  Bertajuk Pencen, Bom Jangka Kewangan Negara? anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan menerusi Facebook dan YouTube UMNO Online, malam tadi. Selain beliau, turut menjadi ahli panel Ahli parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan program tersebut dihoskan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dr Norma seterusnya berpandangan jika pencen untuk pekerja seluruh negara dapat dilaksanakan ianya adalah satu rahmat dan itulah antara yang menjadi sasaran mereka dalam usaha memastikan ianya benar-benar menjadi realiti pada satu hari nanti.

“Kalau dapat pencen untuk semua ianya adalah satu rahmat…Yang kami selalu bincangkan adalah agar semua rakyat Malaysia mendapat pencen. Bagaimana formula yang hendak kita tawarkan itu boleh dibincang sebab pencen kerajaan pun ada formula yang dgunakan dan kita boleh simulasi.

“Sebab kita mempunyai ramai pakar dalam bidang ini dan kita tahu dengan sendiri dari segi population, demografi dan sebagainya..berapa yang akan bersara….apa tahap gaji mereka sekarang ini itu adalah sesuatu yang amat dialu-alukan. Malaysia akan jadi negara maju dan sebagai sebuah negara maju kita perlu ada solidariti antara semua rakyat.

“Jadi menjadi tanggungjawab bukan sahaja mereka yang susah itu untuk mendapatkan pendapatan tetapi orang yang ‘berada’ juga perlu bertanggungjawab untuk memastikan bahawa tiada rakyat yang miskin dalam negara maju kerana itu adalah kestabilan sosial,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.