Malaysia Catat Pelaburan Tertinggi Pada 2023, Dr Akmal Ucap Tahniah

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di atas kejayaan negara mencatat pelaburan tertinggi pada tahun 2023.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, turut berharap agar jumlah pelaburan yang masuk ke Malaysia pada tahun ini akan meningkat dari tahun sebelumnya.

“Tahniah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Moga tahun ini akan meningkat lagi jumlah pelaburan yang masuk ke negara kita,” katanya.

Pada Khamis media melaporkan Malaysia telah mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada 2023, meningkat 23.0 peratus daripada 2022.

Daripada jumlah itu, pelaburan asing adalah penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.

Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi menyumbang lebih daripada separuh (51.1 peratus) daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion, diikuti sektor perkilangan sebanyak RM152.0 bilion (46.1 peratus) dan sektor utama sebanyak RM9.1 bilion (2.8 peratus).

Jumlah pelaburan yang diluluskan pula membabitkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara.

Ekonomi digital yang menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara pada 2021, diunjur meningkat kepada 25.5 peratus menjelang 2025.

Jelas Anwar, landskap pelaburan negara yang memperlihatkan prestasi amat memberangsangkan ini juga mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan Madani. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.