Integriti Wilayah Tidak Patut Diceroboh, Puteri UMNO Sokong Komitmen Malaysia Terhadap Isu Palestin

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan terus menyokong penuh komitmen negara terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana integriti wilayah dan kedaulatan sesebuah negara tidak sepatutnya dicabuli mana-mana pihak.

Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Norshaidatul Akhmar Sharudin berkata, keberanian Malaysia seharusnya dijadikan contoh untuk memastikan sokongan terhadap usaha-usaha terus berjalan agar konflik di Palestin dapat diselesaikan sebaiknya.

“Puteri UMNO Malaysia menyokong penuh komitmen Malaysia terhadap Piagam PBB kerana prinsip asas integriti wilayah dan kedaulatan sesebuah negara tidak seharusnya dicabuli oleh mana-mana pihak.

“Keberanian dan komitmen Malaysia ini perlu dijadikan contoh bagi memastikan sokongan terhadap usaha-usaha di peringkat antarabangsa terus berjalan agar dapat mencari jalan penyelesaian terhadap konflik itu sebaiknya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Pada Khamis media melaporkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan bahawa Israel mesti terlebih dahulu berhenti daripada terus mencabuli undang-undang antarabangsa dan setiap elemen teras dalam hak rakyat Palestin untuk menubuhkan tanah air sendiri.

Dalam kenyataan lisan Malaysia pada sesi pendengaran awam berhubung isu Palestin di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda pada Khamis (waktu tempatan), Mohamad berkata, Israel mesti menghentikan semua ‘dasar dan amalan’ berkaitan dan serta-merta berundur dari Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Mohamad berkata PBB mesti terus menjadi forum kerjasama bagi membolehkan negara-negara melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menamatkan pencabulan hak dan pendudukan wilayah Palestin.

Menteri Luar itu mengetuai delegasi Malaysia di ICJ berhubung permintaan untuk Pendapat Nasihat berkaitan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel di wilayah Palestin yang diduduki termasuk Baitulmaqdis Timur.

Pendapat Nasihat merupakan satu proses penting bagi memperolehi nasihat perundangan daripada ICJ, badan kehakiman PBB, selaras dengan Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ.

Peristiwa pencerobohan Israel ke atas Palestin telah berlangsung selama hampir lima bulan sejak 7 Oktober 2023 dan menurut data United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs (OCHA), dilaporkan angka korban telah mencapai seramai 29,000 orang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.