Aktifkan Program UMNO Bersama Rakyat, Laksana Khidmat Bakti Berterusan – Jeffery Nor

PUTATAN, 23 Feb – Ahli-ahli UMNO perlu sentiasa mengaktifkan gerak kerja bersama masyarakat bagi memastikan kesinambungan jalinan dilaksana berterusan.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Negeri Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, pelbagai ruang yang ada boleh dilaksanakan bersama masyarakat yang dalam masa sama dapat membantu rakyat melalui program-program dilakukan.

“Ahad lalu, saya bersama ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Putatan telah menggerakkan program berkhatan beramai-ramai peringkat Parlimen yang dianjurkan oleh Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tengah Padang. Ini adalah peluang kepada rakyat untuk mendapat kemudahan bagi anak-anak mereka dalam waktu cuti persekolahan.

“Ini adalah inisiatif bagi membantu golongan ibu bapa dalam usaha mengurangkan beban kerana menerusi program ini, bantuan berkhatan percuma diberi selain beberapa barang kelengkapan seperti tilam dan bantal bagi keselesaan anak-anak turut diberikan.

“Dalam masa yang sama, pertandingan memancing juga dilaksanakan secara serentak bagi menarik penglibatan golongan muda dan mereka yang tidak terlibat dalam program berkhatan,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan kepada UMNO Online.

Jelas beliau, program bersifat kebersamaan yang memberi faedah kepada orang ramai akan diteruskan pada masa hadapan.

“Insya-Allah, program seperti ini akan diteruskan bagi membantu ibu bapa meringankan sedikit beban bagi menyempurnakan anak-anak menjelang remaja.

“Selain daripada kesan besar yang amat baik kepada rakyat sebenarnya program sedemikian menyemai semangat kebersamaan apabila dilaksanakan secara beramai-ramai, memupuk perpaduan dan kerjasama dari pelbagai pihak yang bukan hanya dalam UMNO sahaja tetapi antara parti dengan masyarakat juga.

“Lebih bermakna apabila penglibatan semua peringkat dapat digabungkan menerusi satu program, dari kepimpinan tertinggi parti hinggalah kepada akar umbi, rakyat dari pelbagai peringkat usia, golongan ibu bapa hinggalah kepada anaka-anak yang kecil akan mengenali UMNO malah menyemai perasaan menghargai sesama kita,” katanya lagi.

Lantaran kejayaan program ini, beliau merakamkan penghargaan juga kepada semua pihak terlibat termasuklah pelbagai agensi yang sama-sama menyokong.

“Terima kasih semua kepimpinan UMNO Bahagian Putatan dan ahli-ahlinya, orang ramai yang terlibat termasuk juga agensi GiatMARA dan pihak bomba yang memberikan kerjasama terbaik untuk kejayaan program ini.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.