Puteri UMNO Sokong Penuh Usaha KPWKM, Wujud Pusat Sokongan Sosial Setempat

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Pergerakan Puteri UMNO menyokong penuh usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam melaksanakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).

Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Reena Awliyatul Imani Reezal Merican berkata, salah satu penyumbang utama kepada peningkatan isu psikososial adalah bermula dari rumah.

“Salah satu penyumbang utama peningkatan isu psikososial adalah bermula dari rumah yang seringkali dinyatakan dalam pelbagai forum di luar sana.

“Perkara ini telah dibincangkan sebaiknya di dalam sesi forum yang turut menekankan kerjasama antara kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) diperkukuhkan.

“Justeru, Puteri UMNO menyokong penuh usaha besar KPWKM dalam pelaksanaan PSSS setempat dalam memberi perlindungan serta dokongan kepada golongan sasaran,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, Pergerakan Puteri UMNO akan mencari jalan agar penganjuran program kesihatan mental dapat dilaksanakan bersama-sama.

“Puteri UMNO akan terus mencari jalan untuk bersama-sama dalam penganjuran program kesihatan mental dan cuba untuk mempertingkatkan lagi program yang mengetengahkan isu ini supaya lebih ramai dapat kita dekati dalam menyahut seruan ucapan dasar Ketua Puteri UMNO Malaysia di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 sebelum ini,” katanya.

Pada Rabu media melaporkan KPWKM telah membuka Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Transit pertama di Malaysia bernilai RM1.5 juta di tapak kawasan Perumahan Kastam Rantau Panjang.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, PSSS Transit ditubuhkan melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi membantu menangani isu psikososial khususnya golongan sasar di bawah KPWKM.

Menurutnya, sebelum ini kementerian sudah mewujudkan PSSS secara bergerak (mobil) sejak 2021 dengan memberi khidmat secara ‘outreach’ terus ke kawasan tumpuan dan kali ini menaik taraf dengan mewujudkan PSSS Transit setempat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.