Aplikasi Langkah Kreatif Tarik Golongan Muda Bersama UMNO – Haryaty

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Kemudahan dan kecanggihan teknologi pada hari ini perlu diaplikasi sebagai pemangkin dalam perjuangan UMNO dengan memanfaatkannya menerusi apa-apa aktiviti bersama masyarakat.

Dalam hal ini, Exco Wanita UMNO, Datuk Haryaty Hamdzah memuji langkah kreatif dan inovatif yang dilaksana oleh UMNO Cawangan Pantai Nekmat, Kota Melaka susulan mengambil inisiatif menganjurkan Esports – Mobile Legends bersama golongan muda.

Katanya yang juga Ketua Wanita UMNO Kota Melaka, ruang dan peluang yang ada mesti diaplikasi sebagai langkah terbaik bagi menggerakkan usaha dengan melibatkan rakyat dalam pelbagai peringkat.

“Kemajuan dalam teknologi memberi perkembangan kepada permainan video yang telah berjaya menarik minat masyarakat khususnya golongan remaja untuk bermain permainan tertentu apatah lagi sekarang ini adalah musim cuti persekolahan.

“Kerana itu saya ucapkan syabas dan tahniah kepada kepimpinan UMNO di sini yang menjadikan acara tersebut sebagai tempat untuk anak-anak muda menghabiskan masa dengan lebih berfaedah.

“Apatah lagi sekarang ini e-Sport bukan sahaja permainan video amatur tetapi kini mempunyai atlet profesional yang bersaing dengan atlet lain secara maya dengan penuh semangat kesukanan,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, dalam perkembangan semasa langkah positif parti yang bersifat kekinian akan menjadi tarikan kepada golongan belia untuk bersama-sama membangunkan negara.

“Sukan elektronik juga sebenarnya dapat membantu remaja untuk meningkatkan daya pemikiran secara kritis dan kreatif. Hal ini kerana permainan sukan elektronik secara ringkasnya memerlukan pemain untuk menyelesaikan tugasan-tugasan yang diberikan.

“Perkara ini sedikit-sebanyak dapat membantu perkembangan minda mereka di luar bilik darjah tanpa bantuan guru dan juga ibu atau bapa,” katanya lagi yang juga Ahli Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (HAWA). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.