UMNO Keningau Aplikasi Usaha Bersama KEMAS Ke Arah Transformasikan Masyarakat Luar Bandar

KENINGAU, 21 Feb – UMNO sentiasa berusaha menambah baik gerak kerja dalam hasrat memastikan rakyat mendapat kehidupan yang selesa khususnya mengubah landskap sisio-ekonomi luar bandar melalui pelbagai program terutamanya aplikasi pendidikan.

Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Mohd Zawawi berkata, dalam pembinaan modal insan pewujudan sekolah tadika oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) hampir di seluruh kampung telah memberikan peluang kepada masyarakat khususnya golongan B40 menghantar anak-anak mereka mendapatkan pendidikan awal sebagai persediaan untuk melangkah ke sekolah rendah.

“UMNO amat menghargai malah mengalu-alukan kewujudan tadika KEMAS yang telah memberikan peluang kepada golongan B40 menghantar anak-anak mendapatkan pendidikan awal iaitu kurikulum pendidikannya tidak jauh bezanya dengan sekolah-sekolah tadika lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat KEMAS Daerah Keningau di Pejabat UMNO Bahagian Keningau baru-baru ini.

Rombongan tersebut diketuai oleh Timbalan Pegawai KEMAS Daerah Keningau, Haini Karno yang turut dihadiri oleh Ketua Wanita UMNO bahagian Keningau, Siti Noor Zati Sairin, pegawai-pegawai KEMAS Daerah Keningau dan ahli jawatankuasa UMNO bahagian terbabit.

Dalam pada itu Nik Mohd Nadzri berharap peranan dan fungsi KEMAS yang ditubuhkan sejak 1961 diselaraskan dengan jangkaan dan keperluan masyarakat serta kehendak kerajaan masa kini.

Menurut Nik Mohd Nadzri yang juga Pengerusi Sekretariat NGO dan Profesional Muda UMNO Sabah, peranan warga KEMAS bukan sahaja perlu aktif mendapatkan pelbagai isu masyarakat untuk dipanjangkan kepada pihak berwajib, malah lebih daripada itu, anggota KEMAS juga adalah orang yang tepat dalam menyebar luas maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan.

Dalam pada itu Nik Mohd Nadzri berkata, UMNO Bahagian Keningau sedia berkolaborasi bersama KEMAS untuk mengadakan sebarang bentuk program terutamanya untuk pembinaan modal insan melalui pelaksanaan kursus-kursus kemahiran sama ada jangka pandek atau jangka panjang.

Menurut beliau bagi memberikan kemahiran kepada masyarakat program-program yang pernah dikendalikan KEMAS sebelum ini seperti bidang masakan, jahitan, seni tangan, komputer dan dandanan dapat diteruskan untuk membantu golongan sasar menjana pendapatan menerusi bidang kemahiran.

“Kita mahu program yang dikendalikan KEMAS ini sentiasa relevan dan membantu ke arah memberikan perkhidmatan dan kemahiran kepada masyarakat luar bandar untuk menimba ilmu sekali gus melalui kemahiran ini mereka boleh menceburi bidang perniagaan untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat,” katanya lagi.

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.