Tun Abdul Taib Meninggal Dunia, UMNO Rakam Takziah


KUALA LUMPUR, 21 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan dan ahli-ahli UMNO mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia sekitar jam 4.28 pagi tadi.

Menerusi hantaran dalam laman Facebooknya, Ahmad Zahid menganggap pemergian Abdul Taib sebagai satu kehilangan besar.

“Saya ucapkan takziah buat keluarga Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud, mantan Ketua Menteri Sarawak dan Yang diPertua Negeri Sarawak yang kembali ke rahmatullah pagi tadi.

“Satu kehilangan besar buat rakyat Malaysia khususnya rakyat Negeri Sarawak kerana beliau memainkan peranan yang cukup penting dalam mentadbir dan memacu kejayaan Negeri Sarawak sehingga kini.”

Katanya, terlalu banyak banyak kenangan beliau bersama Allahyarham Abdul Taib.

“Beliau merupakan seorang yang mudah didekati dan sentiasa istiqomah menyantuni masyarakat.

“Semoga Allah SWT menerima segala amal baktinya dan menempatkan Allahyarham di dalam kalangan insan soleh serta beroleh jannah-Nya,” katanya lagi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 4.28 pagi di Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL).

Jenazah Allahyarham akan diuruskan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, sebelum diterbangkan balik ke Kuching, hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.