UMNO Lahad Datu Terus Tambah Keahlian, Khidmat Bakti Membela Rakyat Jadi Keutamaan

LAHAD DATU, 20 Feb – Realiti UMNO yang menggalas perjuangan demi agama, bangsa dan negara telah terbukti malah kekal sebagai satu-satunya parti yang masih bertahan teguh dalam membela kepentingan masyarakat.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul yang sentiasa mengaktifkan gerak kerja di bahagiannya sebagai tunjang utama dan tempat mengadu untuk rakyat.

“Alhamdulillah, kita dapat menggerakkan usaha dalam menyampaikan bantuan wang tunai dan bakul makanan kepada para pemohon di Pejabat UMNO Bahagian Lahad Datu,” katanya kepada UMNO Online.

Lebih bermakna kata beliau ialah penambahan keahlian parti di bahagian terbabit dengan penyerahan borang melibatkan lebih 100 orang.

“Seterusnya kita menerima keahlian baharu, seramai 109 orang telah menyertai UMNO di bawah jagaan AJK UMNO Bahagian, Tuan Hamzani Ariffin.

“Realitinya UMNO telah terbukti sebagai satu-satunya parti yang masih bertahan teguh dalam membela kepentingan masyarakat, dan kekal sebagai tunjang utama untuk rakyat keluar daripada penderitaan kerana keutamaan UMNO adalah membela rakyat.

“UMNO ini rumah kebajikan dari awal kemerdekaan, kecil atau besar di mata orang, di sinilah tempat rakyat bermanja, tempat rakyat senyum, tempat rakyat meluahkan pelbagai rintangan untuk mendapat penyelesaian.”

Ujarnya, penyerahan bantuan yang dibuat tersebut melibatkan keperluan rakyat seperti bantuan perbelanjaan perjalanan untuk menyambung pengajian, rawatan kesihatan, tajaan aktiviti belia dan masjid serta pelbagai lagi.

“UMNO Bahagian Lahad Datu, sentiasa terbuka dan membantu pelbagai permohonan yang dihadapi oleh rakyat malah penyampaian bakul makanan dan wang tunai kepada para asnaf yang telah memohon adalah antara inisiatif berterusan yang dilakukan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa UMNO Bahagian Lahad Datu akan mengadakan program bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ini adalah selari dengan hasrat kerajaan yang telah memperkenalkan caruman sukarela dengan insentif persaraan yang dikenali sebagai i-Saraan KWSP bagi membolehkan ahli yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap termasuk suri rumah untuk membuat caruman sukarela untuk tujuan persaraan.

“Program ‘Simpanan Hari Tua’ ini akan disampaikan melalui ceramah dari Pegawai KWSP bagi tujuan dan langkah-langkah yang strategik untuk menyimpan wang.

“Lebih menarik lagi, ahli yang mencarum juga akan menerima caruman tambahan daripada pihak kerajaan, dan untuk membuka akaun KWSP hanya dengan RM5.00 sahaja pada hari program tersebut yang akan dilaksana pada Mac depan,” katanya lagi yang mempelawa orang ramai untuk mendaftar nama di Pejabat UMNO Bahagian Lahad Datu bagi tujuan membuka akaun terbabit. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.