Puteri UMNO Gesa Kaji Isu Kewarganegaraan, Pinda Perlembagaan Dengan Segera


KUALA LUMPUR, 20 Feb – Puteri UMNO Malaysia memandang isu kewarganegaraan bagi seorang anak yang lahir di luar negara dan mempunyai bapa kerakyatan luar negara dengan serius serta menyokong perlaksanaan pindaan Perlembagaan perlu dilaksanakan dengan segera.

Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman media sosialnya berkaitan hal terbabit.

“Selaras dengan manifesto Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lepas, kami bersetuju pindaan perlembagaan ini perlu dibincang dengan teliti bagi mengekalkan keharmonian serta ketamadunan rakyat Malaysia yang penuh dengan adat serta tinggi perlembagaan di negara ini,” katanya.

Isu tersebut mula mendapat perhatian selepas kumpulan hak asasi Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam wanita warga Malaysia memfailkan saman pemula pada 18 Disember 2020.

Saman pemula itu difailkan bagi menuntut perisytiharan bahawa anak wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan pasangan rakyat asing, layak memperoleh kewarganegaraan secara automatik walaupun mereka dilahirkan di luar negara.

Pada 9 September 2021, mereka berjaya dalam tuntutan itu selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warga Malaysia dan pasangan rakyat asing berhak mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.

Namun, keputusan itu berubah pada 5 Ogos lalu apabila Mahkamah Rayuan memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Pada 14 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada enam ibu warga Malaysia dan Family Frontiers untuk meneruskan rayuan bagi menuntut hak kerakyatan berkenaan.

Terdahulu, ketika Ke-15 (PRU15), Pakatan Harapan (PH) dan BN menjadikan pindaan Perlembagaan itu sebagai sebahagian daripada manifesto masing-masing. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.