Onn Hafiz Yakin Kerjasama Kukuh Antara Kerajaan Negeri Dan Pusat Beri Manfaat Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yakin dan percaya jalinan kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan pusat perlu sentiasa diperkukuh demi manfaat kepada rakyat.

Dalam satu kunjungan beliau bersama delegasinya kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di pejabat menteri itu, Onn berkata kerajaan negeri dan persekutuan sentiasa berusaha untuk menaik taraf kemudahan dan infrastruktur jalan raya demi keselesaan dan keselamatan pengguna.

“Lanjutan daripada perjumpaan lalu, beberapa perbincangan bagi menambah baik infrastruktur jalan di Negeri Johor telah diperincikan menerusi perjumpaan pada kali ini.

“Saya amat berterima kasih di atas keprihatian pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) di atas kelulusan beberapa projek di Johor termasuklah; RM 120 juta bagi menaikkan aras jalan laluan FT003 (Jalan Johor Bahru – Mersing), RM39 juta bagi baik pulih jalan rosak kesan daripada bencana banjir Monsun Timur Laut 2023/2024 dan RM 9 juta bagi baik pulih jalan di Jalan Felda Ulu Tebrau,” katanya dalam satu perkongsian di laman X.

Hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

Dalam perkembangan yang sama, Onn Hafiz juga berharap agar pihak KKR dapat mempertimbangkan permohonan lain sebagai persediaan bagi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta agenda Tahun Melawat Johor 2026.

Semoga segala usaha bagi meningkatkan mutu jaringan keselamatan jalan raya di negeri ini bakal memberikan limpahan manfaat kepada Bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya, insya-Allah, ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.