Jentera UMNO Jangan Berdiam Diri, Bertindak Agresif Hadapi Serangan Provokasi Di Media Sosial – Busiau

KENINGAU, 20 Feb – Jentera UMNO tidak sewajarnya berdiam diri sebaliknya perlu bertindak lebih agresif dan bersuara khususnya dalam menghadapi pelbagai serangan terhadap institusi dan kepimpinan UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Pensiangan, Busiau Ampirak berkata, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bakal diadakan paling lewat tahun depan, UMNO khususnya di Sabah berhadapan dengan pelbagai serangan provokasi, cemuhan dan fitnah yang dimainkan di media sosial oleh tentera siber pihak lawan.

Menurut beliau, mutakhir ini media sosial digunakan oleh pihak lawan menyerang UMNO dalam usaha mereka menutup segala kelemahan terutamanya dalam mengekang kemarahan rakyat terhadap beberapa isu berkaitan pembangunan, kos sara hidup dengan menyalahkan UMNO dan kepimpinannya.

“Dalam dunia tanpa sempadan ini dan rakyat kini celik teknologi maklumat (IT), mereka menjadikan medium media sosial untuk menzahirkan rasa ketidakpuasan dan pihak lawan menutup segala kelemahan mereka dengan UMNO yang dipersalahkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Kursus Media dan TikTok anjuran Pergerakan Puteri UMNO bagi Zon 4 di sini, baru-baru ini.

Menurut Busiau, persoalan serta tohmahan yang dibangkitkan oleh pihak tertentu adalah bagi mengelirukan pemikiran rakyat di samping usaha untuk merosakkan imej dan kekuatan UMNO.

“Kita perlu jawab dalam pelbagai ruang medium media… TikTok, komen-komen dan sebagainya… ini sahaja peluang untuk kita sama-sama kukuhkan parti iaitu mendedahkan kebenaran dan menolak dakwaan palsu. Ini peluang kita bangkit kembali,” katanya.

Sehubungan itu, Busiau memuji usaha yang dilakukan oleh Puteri UMNO yang menganjurkan kursus tersebut yang menurut beliau akan memberikan ilmu dan nilai tambah dalam menghasilkan kandungan baharu di media sosial yang lebih kreatif.

“Saya harap peserta akan memanfaatkan ilmu yang diperoleh dan dikembangkan di peringkat akar umbi agar penggunaan media sosial ini lebih meluas dan dalam masa yang sama kita dapat menyebarluaskan maklumat dasar dan perjuangan parti selain program-program yang UMNO laksanakan,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.