Semoga Wilayah Persekutuan Kekal Harmoni, Terus Menyumbang Kepesatan Ekonomi Negara – Nora’shekin

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Ketua Wanita UMNO Wilayah Persekutuan, Nora’shekin Yusof berkata sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada hari ini membawa manifestasinya tersendiri khususnya keharmonian dalam kalangan warganya.

“Selamat Hari Wilayah Persekutuan kepada semua warga wilayah,  semoga warga wilayah dapat mengekalkan perpaduan yang telah terjalin di antara semua kaum dengan baik,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu berkata, peranan wilayah sangat signifikan terutama dalam menyumbang kepada ekonomi negara sekaligus membawa Malaysia ke arah kemajuan yang lebih pesat.

“Saya juga mengharapkan semoga pembangunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dapat membantu menyumbangkan kepesatan ekonomi negara, kesejahteraan dan keharmonian hidup warga wilayah,” katanya.

Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-20 sejak diperkenalkan pada 2004.

Kuala Lumpur diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1974 manakala Labuan pada 1984 dan Putrajaya pada 2001.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memaklumkan Hari Wilayah Persekutuan 2024 (HWP 2024) yang diadakan hari ini di Dataran Putrajaya, bersekali dengan program Hari Terbuka Putrajaya 2024 (POD 2024).

Beliau berkata, sambutan ini diharap dapat menanam serta mengukuhkan lagi semangat patriotisme cintakan Wilayah Persekutuan sekali gus menonjolkan imej warga Wilayah Persekutuan yang harmoni, prihatin, maju dan sejahtera. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.