Hari Wilayah Persekutuan: Kukuhkan Semangat Patriotisme, Warga Wilayah Terus Menyatu – Razlan

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii meluahkan kesyukuran bersempena ulang tahun ke-50 pengisytiharan Wilayah Persekutuan pada hari ini.

Jelas beliau, warga Wilayah Persekutuan seharusnya berbangga dan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan mereka sebagai simbolik pencapaian dan kemajuan dicapai.

“Tahun 1974 Wilayah Persekutuan diwujudkan, hari ini genap 50 tahun adanya wilayah termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Saya harap semua warga wilayah terus menyatu, padukan hati dan doakan wilayah menjadi bandar contoh yang boleh kita banggakan di seluruh dunia.

“Sambutlah dengan penuh raya syukur dan kita doa agar terus mencapai keamanan demi mewujudkan satu negara yang lebih maju dan kehadapan dalam kita menjaga agama Islam, orang Melayu di dalam bandar insya-Allah, kita akan mencapai kejayan bersama dalam memacu negara ini,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh dalam pada itu mengajak warga kota menghargai jasa dan pengorbanan dilakukan pemimpin terdahulu yang memainkan peranan penting kepada pembentukan wilayah ini.

“Apa yang kita ada hari ini bukannya datang bergolek tetapi datangnya daripada nilai pengorbanan orang terdahulu untuk mencipta kemajuan di dalam Wilayah Persekutuan.

“Kita ada Petronas Twin Towers atau lebih dikenali KLCC, Tun Razak Exchange (TRX), Merdeka 118, ini semua adalah peninggalan daripada pemimpin-pemimpin kita terdahulu untuk membawa Wilayah Persekutuan kepada satu tahap yang lebih tinggi di mata dunia,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.