Pertabalan Yang di-Pertuan Agong: Ahmad Zahid Merafak Sembah Tahniah

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merafak sembah tahniah kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO itu turut hadir bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan jemaah menteri ke Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, sebentar tadi.

“Hari ini saya bersama-sama Perdana Menteri dan barisan jemaah menteri menghadiri Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai sebagai Yang Dipertuan Agong yang ke-17.

“Patik, atas kebersamaan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW), serta seluruh warga kerja Kementerian, merafak sembah tahniah atas pelantikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

“Patik mendoakan, Kebawah Duli Yang Mulia Tuanku dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah sentiasa sihat sejahtera, dan kekal mentadbir negara dengan penuh kebijaksanaan demi rakyat tercinta,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pada Rabu media melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selesai mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan diadakan sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.

Sultan Ibrahim diisytiharkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja Ke-263 pada 27 Oktober tahun lalu.

Pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.