Kerajaan Negeri Sembilan Ambil Berat Kepentingan Peneroka Felda, Bertindak Secara Tuntas

KUALA LUMPUR, 31 Jan – Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata kerajaan negeri sentiasa mengambil berat kepentingan peneroka Felda di negeri itu.

Ujar Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu, sebagai Exco yang bertanggungjawab dalam hal ehwal urusan Felda, petang semalam beliau memanggil mesyuarat pengurusan Felda Wilayah Raja Alias di Bandar Seri Jempol.

“Beberapa isu terpenting terkait dengan peneroka yang telah saya tekankan adalah berkaitan Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), Lot Generasi Felda (LGF), kerjasama kepimpinan Felda bersama kerajaan negeri, Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960, skim-skim bantuan dan fasiliti, isu pelupusan sampah dalam kawasan Felda dan lain-lain isu semasa setempat.

“Syukur Alhamdulillah, banyak juga kata sepakat telah digabungjalinkan secara bersama untuk memastikan isu-isu berbangkit dan semasa yang dialami para peneroka Felda dapat diambil berat dan diberi tindakan secara tuntas,” katanya dalam satu perkongsian di laman X.

Jelasnya juga, secara keseluruhan di Negeri Sembilan terdapat empat Parlimen yang mengandungi Kawasan Rancangan Felda iaitu Jelebu, Jempol, Tampin dan Kuala Pilah.

“Daripada empat Parlimen ini, sembilan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai Rancangan Felda iaitu Pertang, Chennah, Sungai Lui, Palong, Jeram Padang, Serting, Gemas, Gemencheh dan juga Senaling.

“Dengan jumlah peneroka mencakupi 16,432 orang dan 51 rancangan pada keluasan 71,986.03 hektar,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.