Mendepani Cabaran: Penerangan UMNO Perlu Ubah Landskap, Bersedia Ke Arah Digital – Azalina

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Dalam mendepani cabaran kedinamikan politik baharu, Penerangan UMNO perlu mengubah landskap dan pendekatan untuk memberikan maklumat tuntas di samping bersedia ke arah digitalisasi.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, latihan yang efisien dan efektif juga perlu diwujudkan bukan sahaja di peringkat pusat bahkan bahagian.

“Landskap politik telah pun berubah. Bagi saya, Penerangan UMNO Malaysia harus selari dengan perubahan yang berlaku.

“Kita perlu mengubah cara pendekatan. Apa yang saya nampak kita perlu wujudkan ‘team solid’ iaitu ‘team digital’ dan latihan. Sebenarnya, kita perlu latih keluarga kita dahulu, bukan sahaja di pusat bahkan di bahagian-bahagian hingga ke akar umbi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata demikian ketika memberikan ucapan sempena Taklimat dan Pemukiman Komunikasi Strategik dan Pengurusan Operasi Penerangan UMNO Malaysia di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn, hari ini.

Jelasnya, UMNO tidak boleh meneruskan gaya pemikiran seperti pada zaman kegemilangannya untuk terus mara ke hadapan dan mengesyorkan agar latihan dijalankan secara berperingkat kepada para jentera.

“Kalau landskap itu berubah, kita di UMNO Malaysia mesti bersedia untuk melakukan perubahan.

“Kita dalam penerangan perlu aplikasi komunikasi platform digital kerana kecenderungan masyarakat kini lebih kepada media baharu seperti TikTok.

“Kita sebagai sebuah parti politik tidak boleh fikir seperti pada zaman dahulu lagi. Itu sebabnya perubahan bermula dengan kita,” katanya lagi.

Seramai 37 orang kakitangan daripada Jabatan Komunikasi Strategik dan Pengurusan Operasi Penerangan UMNO Malaysia telah hadir ke kursus pendek ini yang diadakan hari ini.

Tujuan kursus ini diadakan adalah bagi meningkat dan memantapkan kualiti kerja seluruh staf di samping memberi kefahaman dalam gerak kerja yang menjurus kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.