‘Jangan Ganggu Kerajaan Sedia Ada, Perubahan Tak Bawa Kebaikan’

KUALA LUMPUR, 30 Jan – “Saya sudah buat yang terbaik untuk negara sepanjang lima tahun menjadi Yang di-Pertuan Agong, tetapi sedih nak tinggalkan Istana Negara jika rakyat masih berpecah belah,” titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah, perkembangan politik semasa yang mendedahkan wujud tindakan pihak tertentu mahu menumbangkan kerajaan sedia ada amat menggusarkan kerana ia boleh merugikan dan menjejaskan kestabilan negara.membabitkan dasar dan corak pentadbiran yang akan melambatkan proses pengurusan. Malaysia pula perlu lebih kompetitif supaya tak ketinggalan.

Titah baginda, urusan mentadbir kerajaan bukan sesuatu yang mudah dan perubahan yang mahu dilakukan pihak tertentu sebelum tempoh pemerintahan ini berakhir, tidak akan membawa negara ke mana-mana.

“Saya bukan mahu menidakkan mana-mana parti politik tetapi pengalaman bertukar kerajaan itu satu proses yang cukup merugikan negara

“Sepanjang lima tahun menjadi Agong, saya ada empat Perdana Menteri dan ia cabaran terbesar yang perlu saya hadapi. Saya berusaha mententeramkan negara dan kekalkan keharmonian serta kestabilan hingga kini.

“Mengurus kerajaan ini bukan perkara mudah, pertukaran tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ini akan rugikan rakyat dan kewangan negara.

“Kita sudah ada proses demokrasi yang tertulis pada setiap lima tahun rakyat boleh memilih kerajaan melalui pilihan raya. Jadi biarlah sekurang-kurangnya kerajaan yang ada ini memerintah mengikut tempoh ditetapkan, bukan sekadar satu atau dua tahun dan kemudian menukar dengan sewenang-wenangnya,” titah baginda pada sesi bersama media di Istana Negara, sebelum menamatkan pemerintahan selama lima tahun berkuat kuasa hari ini.

Turut hadir, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara bermula 31 Januari 2019.

Susulan itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan akan bersemayam selama lima tahun, berkuat kuasa esok.

Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, juga selama lima tahun dan mulai dari tarikh sama.

Spekulasi wujud gerakan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan menerusi ‘Langkah Dubai’ pada bulan lalu, mengocakkan semula ketenangan politik negara terutama selepas setahun Kerajaan Perpaduan memerintah.

Konspirasi dikatakan dirancang Perikatan Nasional (PN) bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada dengan dakwaan kononnya berjaya mengumpul surat akuan bersumpah (SD) untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga membangkitkan rasa kurang senang rakyat dengan perkembangan politik Malaysia.

Al- Sultan Abdullah bertitah, kemelut politik negara hingga membabitkan pertukaran empat Perdana Menteri berbeza sepanjang lima tahun pemerintahan baginda memberi kenangan sukar diterima.

Baginda bertitah, apa yang sudah berlaku membuktikan perubahan yang dimahukan rakyat dengan khidmat Perdana Menteri dalam tempoh singkat tidak memberikan kebaikan langsung kepada negara.

“Jika kita tukar Perdana Menteri setiap tahun, ada Kabinet baharu, ia tak menjanjikan apa-apa. Ini pengalaman saya. Jadi, rakyat perlu bagi tempoh sewajarnya untuk menilai keberkesanan pentadbiran kerajaan, bukannya dalam tempoh setahun dua dan kemudian mempersoalkan prestasi mereka.

“Apa yang kita boleh buat dalam tempoh setahun? Jika tukar kerajaan, banyak perubahan akan berlaku membabitkan dasar dan corak pentadbiran yang akan melambatkan proses pengurusan. Malaysia pula perlu lebih kompetitif supaya tak ketinggalan.

“Pelabur asing akan melihat perkara ini dan ketidaktentuan kestabilan negara boleh menyebabkan mereka takut melabur di Malaysia sedangkan kita perlukan mereka ini untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat,” titah baginda.

Susulan itu, Al-Sultan Abdullah menggesa rakyat memahami kepentingan menjaga kestabilan negara untuk jangka panjang dalam usaha memacu perkembangan ekonomi ke peringkat lebih tinggi.

“Selain bergantung kepada kerajaan, kita memerlukan pelabur yang membawa pelaburan besar, tetapi mereka hanya akan bertapak di negara ini jika suasananya kondusif.

“Jika tiada pelaburan asing, kita akan kerugian banyak perkara termasuk kutipan cukai,” katanya. – BH-Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.