Bung Moktar Gesa Belia Kompetitif Hadapi Cabaran Masa Depan

KINABATANGAN, 30 Jan – Golongan belia perlu bersifat kompetitif serta mempunyai ilmu bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Ketua UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata golongan belia perlu dibekalkan dengan pelbagai ilmu termasuk berkaitan kepimpinan kerana mereka merupakan pelapis negara masa hadapan.

“Kalau ingin melihat kemajuan negara kita pada masa hadapan, lihatlah belia pada zaman ini, tanamkan ilmu-ilmu yang berguna kepada mereka seperti ilmu perniagaan, kepimpinan dan sebagainya bagi melahirkan generasi belia yang berkualiti dan berwawasan,” katanya ketika berucap merasmikan Majis Apresiasi Kepada Yang Di-Pertua Belia Akar Umbi Daerah Kinabatangan di sini, kelmarin.

Menurut Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, negara akan berhadapan dengan pelbagai cabaran seiringan dengan kepesatan teknologi komunikasi tanpa sempadan iaitu bukan sahaja bersaing dalam negeri malah di peringkat global.

Justeru katanya, penguasaan ilmu pengetahuan amat penting untuk meletakkan mereka mampu bersaing menghadapi cabaran yang sentiasa berubah mengikut peredaran masa.

“Para belia juga perlu memerdekakan pemikiran mereka daripada sebarang unsur yang negatif, perlu bebas daripada pemikiran yang menghalang diri mereka dari melakukan perubahan yang lebih baik.”

Bung turut mengingatkan golongan belia agar tidak terpengaruh dengan idealisma yang membawa belia kepada budaya tidak mencerminkan aspirasi pembentukan negara ini.

“Kita perlu kekal dengan acuan yang sederhana dan tidak melampau dalam menyuarakan pandangan serta kritikan, jangan kerana ingin popular dan mengajar kedudukan kita lupa asal usul kita,” katanya.

Dalam pada itu menurut Bung sebagai pemimpin di kawasan tersebut, beliau akan terus menyokong apa-apa juga program yang membawa kebaikan kepada masyarakat agar terus aktif dalam pelbagai bidang.

Bung juga meminta persatuan-persatuan belia agar sentiasa berhubung dengan agensi-agensi lain bagi mencari peluang meningkatkan ilmu serta kemahiran para belia tempatan.

Pada majlis tersebut Bung juga turut menyampaikan sumbangan dana kewangan untuk persatuan-persatuan belia yang berdaftar di daerah Kinabatangan bagi membantu persatuan terbabit melaksanakan program mereka sepanjang tahun. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.