Kerjasama BN-PH Di Perak Zahir Kejayaan… Inisiatif Dan Pembangunan Giat Direncana – Zambry

IPOH, 29 Jan – Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri Perak telah menzahirkan kejayaan kerana pelbagai inisiatif serta pembangunan sedang giat direncanakan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) merangkap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Kerajaan Perpaduan yang terbentuk pada 14 bulan yang lalu adalah demi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan Perpaduan telah terbentuk hari ini merupakan gabungan antara parti politik demi mencari solusi dan merealisasikan kerjasama yang mampu dibentuk demi kepentingan rakyat dan negara.

“Atas dasar itu, 14 bulan yang lalu telah membuka lembaran baru politik negara apabila BN dan PH di Negeri Perak bekerjasama membentuk kerajaan negeri demi kesejahteraan dan rasa tanggungjawab kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, formula kesepakatan tersebut berjaya menepis segala tohmahan dan persepsi buruk daripada pihak lawan khususnya.

“Walaupun tidak pernah terfikir dalam mimpi mahupun sedar, namun hari ini kita melihat kejayaan demi kejayaan, inisiatif demi inisiatif dan pembangunan demi pembangunan sedang rancak direncanakan di Negeri Perak khususnya dan di peringkat Kerajaan Pusat semestinya.

“Formula kesepakatan ini membuktikan bahawa segala onak duri dan tentangan daripada mana-mana pihak lain berjaya diketepikan dan alhamdulillah Kerajaan Madani yang dibangunkan bersama ini terus menerajui negara serta Negeri Perak ke arah lebih banyak kecemerlangan,” katanya lagi.

Beliau yang hadir di Konvensyen Kerajaan Perpaduan semalam turut mendoakan agar Kerajaan Perpaduan akan terus kekal utuh untuk menjaga kepentingan rakyat.

“Hadir dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak, saya dapat melihat pelbagai pihak dari pemimpin tertinggi parti sehinggalah ke akar umbi yang memeriahkan konvensyen.

“Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Semoga Kerajaan Perpaduan ini akan terus kekal utuh dan agenda serta kepentingan rakyat akan terus diangkat dan diutamakan,” katanya lagi.

Semalam telah berlangsung Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang diadakan di Ipoh dan dihadiri oleh para kepimpinan BN dan PH negeri tersebut.

Konvensyen itu juga menjadi pentas untuk mengimbau kembali peristiwa-peristiwa serta detik-detik penting yang membawa sehingga ke tahap sekarang supaya dapat ditatang ibrah dan pengajaran bahawa Kerajaan Perpaduan bagi negeri Perak tidak tertegak dengan mudah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mahu Kerajaan Perpaduan di semua negeri turut serta mengadakan konvensyen bagi memperkukuh kestabilan gabungan itu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.