AMM Peluang Baik Malaysia Dan Negara Anggota Kukuhkan ASEAN, Bina Komuniti Berdaya Tahan – Tok Mat Hasan

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) akan memberi peluang baik kepada Malaysia dan negara-negara anggota untuk membina komuniti ASEAN yang inklusif, mampan serta berdaya tahan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pemukiman tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Laos (Lao PDR).

“Alhamdulillah tiba di Luang Prabang, Lao PDR bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN (AMM).

“AMM ini akan dipengerusikan oleh TYT Saleumxay Kommasith, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri Lao PDR, dengan penyertaan Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN dan Menteri Luar Negeri Timor-Leste sebagai Pemerhati ASEAN,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO itu turut memaklumkan bahawa mesyuarat dua hala akan turut diadakan bagi membincangkan isu-isu pengukuhan ASEAN.

“AMM ini akan memberi peluang baik kepada Malaysia dan Negara-negara Anggota ASEAN lain untuk mengukuhkan usaha ASEAN ke arah membina Komuniti ASEAN yang inklusif, mampan dan berdaya tahan. Isu kemanusian di Myanmar juga akan di agendakan untuk perbincangan

“Saya juga akan mengambil peluang untuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat bagi membincangkan isu-isu pengukuhan ASEAN dan hubungan dua hala,” katanya.

Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) membuka tirainya di bandar Luang Prabang, Laos, pada Isnin.

Menurut Agensi Berita Vietnam (VNA), para menteri akan meneliti keutamaan kumpulan itu untuk tahun ini di bawah tema ‘ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience’ dan menyemak hasil yang diperoleh pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 dan lain-lain.

Selain itu, pemukiman berkenaan turut akan menyentuh isu-isu berkaitan pembinaan Komuniti ASEAN, hubungan luar negeri serta situasi serantau dan antarabangsa. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.