Ahmad Zahid Pesan Jangan Pernah Berada Di Zon Selesa, Kerajaan Perpaduan Perlu Dipertahankan

IPOH, 29 Jan – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan agar jangan pernah berada di dalam zon selesa.

Ujar Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Kerajaan Perpaduan mesti dipertahankan walaupun di peringkat pusat ia didukung oleh sejumlah 153 Ahli-ahli Parlimen.

“Kini di peringkat nasional kita didukung oleh 153 Ahli-ahli Parlimen. Kita jangan pernah sentiasa berada dalam zon selesa, kita mesti mempertahankannya.

“Dan saya yakin di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim dukungan Ahli-ahli Parlimen ini terus akan bertambah supaya Kerajaan Madani terus kukuh di peringkat nasional,” katanya ketika berucap di Majlis Penutup Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak di Hotel Casuarina Meru di sini, Ahad petang.

Majlis penutup konvensyen tersebut yang dihadiri oleh seramai 1,500 peserta daripada BN dan Pakatan Harapan (PH) negeri Perak disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN Perak, Pengerusi PH Perak Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, beberapa menteri kabinet serta pimpinan BN dan PH negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata keikhlasan kerjasama antara BN dan PH telah membawa Kerajaan Perpaduan ke mercu kejayaan pada ketika ini dan ia perlu dikekalkan.

“Keikhlasan politik yang membawa kita ke mercu kejayaan. Saya sering mengingatkan diri saya sendiri untuk beroleh kejayaan itu sukar, tetapi untuk mempertahankan kejayaan itu lebih sukar.

“Bila bercakap mengenai keikhlasan, ia bukan hanya berlaku di negeri Perak, keikhlasan itu juga berlaku di Pahang. Datuk Seri Wan Rosdy menjadi menteri besar atas dukungan PH negeri Pahang, atas arahan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jika keikhlasan ini kita boleh pertahankan, dan jika di akar umbi kita terus bergerak dan bekerja untuk menentukan bahawa dukungan itu terus kepada kita dan jangan ada perebutan jawatan-jawatan yang kecil tetapi dianggap besar, kita berunding baik-baik,” katanya.

Anwar, ketika berucap merasmikan majlis penutup konvensyen mahu Kerajaan Perpaduan di semua negeri turut serta mengadakan konvensyen bagi memperkukuh kestabilan gabungan itu.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata konvensyen peringkat negeri yang julung kali diadakan ini menjadi kayu ukur persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan kerana gabungan kerajaan campuran dalam mana-mana negara seringkali dianggap sukar. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.