25,000 Orang Semarakkan Sambutan Menjelang Hari Wilayah Persekutuan Menerusi Program Labuan Berselawat

LABUAN, 29 Jan – Lebih 25,000 umat Islam pelbagai peringkat umur membanjiri Dataran Labuan bagi menyemarakkan sambutan menjelang Hari Wilayah Persekutuan 1 Februari ini dengan Program Labuan Berselawat pada Sabtu lalu.

Lebih bermakna, program tersebut telah menampilkan penceramah tersohor dari Indonesia, Prof. Dr. Ustaz Abdul Somad.

Kata penaung Program Labuan Berselawat, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, program ini diadakan dengan pengisian majlis ilmu bagi memperingati pengisytiharan Pulau Labuan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan di samping pengisian menerusi ceramah dari ilmuan nusantara.

“Majlis ilmu ini adalah ruang dan peluang terbaik untuk kita bersama-sama mendekatkan diri dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW, dan mensyukuri setiap apa yang kita hadapi dengan tekad meneruskan perjuangan,” katanya kepada UMNO Online.

Ujarnya, program tersebut juga dapat memupuk silaturrahim dikalangan umat Islam yang ada di pulau terbabit di samping menyemai perpaduan yang lebih kukuh selaras dengan konsep Malaysia Madani.

“Setiap 1 Februari, sambutan Hari Wilayah Persekutuan diraikan bagi memperingati engisytiharan Pulau Labuan sebagai sebuah wilayah. Kedudukan ini telah mentransformasikan Labuan untuk lebih berdaya saing sebagai pusat pelancongan dan perniagaan di samping pusat kewangan antarabangsa di rantau ini,” katanya lagi.

Program tersebut bermula seawal jam 6 petang didahului dengan sembahayang Maghrib dan Isyak secara berjemaah. Ia turut diisi dengan alunan marhaban dan berselawat beramai-ramai yang memuji kebesaran Allah dan junjungan Nabi Muhammad SAW, dan diikuti oleh ceramah Ustaz Abdul Somad yang bertajuk ‘Keluarga Bahagia Menuju Syurga’.

Selari dengan itu, Mohd Rafi marakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus dan berusaha bagi menjayakan acara tersebut.

“Saya selaku penaung Program Labuan Berselawat mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur dan orang ramai yang telah hadir dan menjayakan program malam ini.”

Program ini dianjurkan secara bersama oleh beberapa agensi kerajaan, swasta dan NGO, antaranya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kelab Wanita Labuan Sejahtera, Desa Tunas Hijau, LDA Holding Sdn. Bhd, MRSB, Klinik Suria, ASB Sdn. Bhd, Cahaya Pack dan AMS Trust, serta beberpa NGO yang lain.– UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.