UMNO Segambut Realitikan Khidmat Kepada Rakyat Demi Amanah Parti, Terus Santuni Masyarakat

KUALA LUMPUR, 27 Jan – UMNO Bahagian Segambut merealitikan asas dan tujuan parti yang sentiasa berjuang mendukung cita-cita kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara berdasarkan khidmat bakti setiap masa.

Ketua bahagiannya, Datuk Mahadhir Sulaiman berkata, biarpun tanpa apa-apa jawatan sama ada dalam kerajaan atau bergelar ahli Parlimen, namun kesungguhan melaksanakan gerak kerja adalah berlandaskan amanah parti sebagaimana cogan katanya ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.

“Sebagai pemimpin UMNO di bahagian, saya memikul tanggungjawab terhadap kelangsungan parti untuk bersama-sama rakyat malah mesej perjuangan bukanlah semata-mata berkisar soal politik kerana keselesaan dalam melunaskan keperluan dan kebajikan tidak kurang pentingnya,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar beliau, UMNO mesti bergerak dan melaksanakan gerak kerja hingga ke akar umbi kerana parti tersebut mesti hidup dalam masyarakat.

“Pendekatan dan gerak kerja yang kita laksanakan adalah berbeza kerana UMNO Segambut berada dalam kawasan bandar yang komunitinya melibatkan semua peringkat, ada pelbagai lapisan masyarakat malah ramai yang perlukan perhatian.

“Kita bantu orang ramai dengan memudahkan mereka mendapat info, menyalurkan maklumat bagi mendapatkan bantuan dan memaklumkan apa-apa keperluan mereka kepada pihak bertanggungjawab kerana tak semua orang cakna dengan pelbagai kemudahan yang disediakan kerajaan.

“Apa yang penting adalah UMNO menjadi rujukan, menjadi saluran dan kewujudannya bersama masyarakat setempat dirasai setiap masa.”

Mahadhir menegaskan bahawa perjuangan UMNO bukanlah berkaitan hal politik atau kepentingan tertentu tetapi nilai bermasyarakat juga adalah sebahagian yang menjadi keutamaan parti.

“Gerak kerja yang dilaksanakan parti amat penting iaitu bukan hanya melibatkan program-program yang berskala besar tetapi pendekatan turun padang termasuk menyantuni mereka yang kesusahan, uzur dan yang ditimpa musibah perlu diteruskan tiap masa.

“Lebih dari itu, ahli-ahli UMNO mempunyai nilai tambah kepada parti untuk sama-sama bangkit kembali agar parti kukuh dengan melibatkan diri dalam apa-apa sahaja aktiviti atau ruang yang ada kerana UMNO ini adalah parti yang hidup dalam masayarakat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.