UMNO Adakan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera,  Gesa Kerajaan Tubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu menerusi Majlis Ekonomi dan Kewangan UMNO akan mengadakan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera pada bulan depan.

Menurut beliau kolokium tersebut akan diadakan selama sehari pada 3 Februari nanti di Dewan Merdeka, World Trade Center (WTC) dan resolusi kolokium berkenaan akan dibentangkan pada Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan diadakan selama tiga hari bermula 29 Februari nanti.

“UMNO Malaysia melalui Majlis Ekonomi dan Kewangan UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengadakan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera pada 3 Februari 2024 bertempat di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur.

“Resolusi Kolokium ini akan dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan dianjurkan pada 29 Februari sehingga 2 Mac 2024 kelak,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, di World Trade Centre (WTC).

Dr Asyraf turut memaklumkan mesyuarat MKT juga turut membincangkan mengenai memorandum tuntutan rakan-rakan penghantar syarikat penyedia perkhidmatan penghantaran barangan dan Makanan (P-Hailing) Grabfood.

“Mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk meminta Kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia sekaligus memastikan aspek kebajikan dan hak pekerja ekonomi Gig di Malaysia terpelihara,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.