Shahaniza Santuni Pemimpin Cawangan, Hargai Perkhidmatan Terbaik Mereka Untuk UMNO Maran

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Dalam meneruskan khidmat bakti di kawasan, Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin tidak lupa untuk menyantuni pemimpin akar umbi yang penjadi pendukung kepada perjalanan parti di bahagian ini.

Menerusi satu pertemuan yang diadakan, Shahaniza yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi meluahkan penghargaan beliau kepada kepimpinan di peringkat cawangan kerana menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya kepada parti.

“Alhamdulillah, saya dapat bersama Ketua-Ketua Cawangan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor dalam jamuan makan malam di kediaman saya. Perjumpaan ini bertujuan untuk menyelaraskan gerak kerja serta beberapa perkara di peringkat cawangan UMNO.

“Mereka merupakan individu yang penting selaku orang tengah diantara masyarakat serta pemimpin. Semoga ukhwah kita bersama akan terus utuh demi membela agama, bangsa dan bumi tumpah darah kita ini.

“Terima kasih kepada seluruh jawatankuasa UMNO Bahagian di Chenor serta kepimpinan sayap-sayap dalam DUN Chenor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu menerusi hantaran berbeza, Shahaniza turut berkongsi kehadirannya bersama barisan jawatankuasa baharu Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti Dan Sektor Swasta Dalam Pendidikan (PIBKS) ke Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Maran.

Beliau pada hantaran tersebut meluahkan harapan supaya kepimpinan jawatankuasa tersebut dapat menjalankan amanah baharu tersebut bagi memperkasa agenda pendidikan di kawasan tersebut.

“Tahniah kepada seluruh jawatankuasa yang telah diberikan amanah ini. Semua yang dilantik mempunyai latar belakang dan kepakaran yang dirasakan boleh membantu aspek pembangunan pendidikan di Maran ini.

“Terima kasih juga buat KPBIKS Negeri Pahang, JPN Pahang dan PPD Maran. Yang terbaik untuk pendidikan anak bangsa kita di Maran. Insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.