Persidangan Cawangan  UMNO Bermula 22 April, Bahagian 21 Jun Dan PAU 21 Ogos

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO hari ini memutuskan berkenaan tarikh-tarikh untuk diadakan Persidangan Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian untuk Tahun 2024.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata turut diputuskan adalah tarikh untuk diadakan Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang akan bermula pada 21 sehingga 24 Ogos 2024.

“MKT telah memutuskan tarikh-tarikh untuk diadakan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO bagi tahun 2024. Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan akan bermula 22 April sehingga 2 Jun nanti.

“Manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian 21 Jun hingga 29 Julai dan Perhimpunan Agung UMNO 21 sehingga 24 Ogos.” Katanya pada sidang media di sini, malam ini.

Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, di World Trade Centre (WTC).

Dr Asyraf turut memaklumkan MKT juga  merakamkan penghargaan kepada  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dan Kerajaan Malaysia yang secara konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

“Perjuangan berkenaan sehingga membawa kepada keputusan positif Mahkamah Keadilan Antarabangsa berpandukan kes yang dibawa oleh Afrika Selatan yang memerintahkan Israel untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap rakyat Palestin dan membenarkan bantuan kemanusiaan,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.