Keluh Kesah Pemandu P-Hailing Perlu Tindakan Sewajarnya – Sharkar

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menggesa syarikat penyedia perkhidmatan P-Hailing, GrabFood Malaysia (GrabFood) supaya mengembalikan semula kadar bayaran upah penunggang kepada bayaran asal.

Bercakap kepada media selepas menerima memorandum daripada wakil P-Haliing sebelum Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Sharkar seterusnya menambah perkara yang dibangkitkan memerlukan satu tindakan yang sewajarnya.

“Sebenarnya dari awal lagi Presiden UMNO konsisten untuk membela P-Hailing ini walaupun ianya merupakan Gig ekonomi atau pun perkerjaan pilihan. Terdapat 10 perkara yang akan diserahkan pada Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan insya Allah akan bentangkan perkara ini dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO malam ini.

“Grab iaitu platform utama telah memulakan satu imej baharu dan mereka tidak berpuas hati kerana salah satunya pendapatan yang berkurangan, banyak ‘advantage’ pada ‘rider’. Sebahagian besarnya mereka menghantar makanan dengan menaiki motorsikal.

“Kena faham bahawa sebahagian besar mereka adalah yang sememangnya bergantung harap kepada perkerjaan ini dan ianya menjadi lebih penting lagi selepas dan ketika Covid apabila banyak syarikat terpaksa tutup dan mereka tidak ada pilihan lain selain dari memberi perkhidmatan pada P-Hailing ini,” katanya di sini.

Terdahulu Sharkar bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerima memorandum daripada Timbalan Presiden Persatuan Penghantar E-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani.

Beliau seterusnya berkata sebagai platform utama dalam P-Hailing maka sewajarnya mesti ada satu badan pengawal.

“Walaupun ada yang mengatakan bahawa ini merupakan pilihan, tapi sebenarnya mesti ada sedikit sebanyak pengawalan atau pun penguatkuasaan supaya tidak ada manipulasi terhadap mana-mana pihak agar semua yang terlibat mendapat keadilan dengan sebaiknya,” ujarnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.