HAWA Terima Kunjungan Hormat Wan Rosdy, Shahrizat Zahir Penghargaan

KUALA LUMPUR, 26 Jan – Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini berbesar hati melakukan kunjungan ke pejabat Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) di Menara Dato Onn.

Meraikan kedatangan tersebut ialah Pengerusi HAWA, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang meluahkan penghargaan dan teruja dengan kehadiran pemimpin utama parti itu.

Kehadiran Wan Rosdy juga membawa manifestasi tersendiri apabila turut menyaksikan pelbagai perbincangan dilakukan membabitkan isu-isu semasa negara dan politik hari ini.

Memeriahkan lagi suasana apabila, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Ketua Menteri Melaka sudi bersama-sama ke pejabat HAWA sambil bertanya khabar bersama kepimpinan HAWA.

Pada Mac tahun lalu Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, UMNO Malaysia (Hawa) ditubuhkan dengan tekad untuk menjadi penghubung yang menyatukan suara masyarakat awam dan para pakar rujuk dari bidang profesional dan akademik untuk melandaskan arah tujunya.

Antara fokus utama HAWA ialah penjanaan ekonomi, pembangunan kapasiti, kesejahteraan hidup, pembangunan lestari, pembangunan wanita desa, teknologi dan inovasi serta perundangan dan polisi.

Pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) 23 Mac lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan HAWA dan seterusnya melantik Shahrizat sebagai pengerusi HAWA. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.