Kesedaran Undang-undang, Hak Individu Perlu Diperluas Ke Luar Bandar – Azalina

PENAMPANG, 25 Jan – Program kesedaran mengenai undang-undang dan hak individu dalam perundangan perlu diperluas khususnya kepada penduduk luar bandar agar tidak mudah menjadi mangsa kepada penipuan selain mendapat perlindungan sewajarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata beliau amat risau apabila terdapat penduduk luar bandar yang menjadi mangsa kepada kegiatan negative akibat kurangnya pengetahuan mengenai perkara tersebut.

“Kadang-kala mereka menjadi mangsa keadaan macam penipuan dalam talian, kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, kesedaran di kawasan luar bandar, kita kena perbanyakkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Van Justice On Wheel, di Kampung Madsiang, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick yang juga Ahli Parlimen Penampang serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian.

Sementara itu Azalina berkata perkhidmatan Van Justice On Wheel diwujudkan Jabatan Bantuan Guaman mampu memainkan peranan dalam menyediakan perkhidmatan guaman bagi menyelesaikan kes seperti kekeluargaan, sivil, jenayah dan khidmat pendamping guaman.

Beliau berkata bantuan guaman bergerak yang bermula di Sabah itu diperkenalkan bagi memudahkan penduduk luar bandar mempercepatkan proses memfailkan kes dan penilaian lanjut akan dibuat membabitkan kawasan yang sukar dicapai Van Justice On Wheel serta cabaran kepada akses perkhidmatan telekomunikasi.

Azalina berkata bantuan serta kerjasama daripada ADUN dan Ahli Parlimen setiap kawasan amat penting untuk membantu melaksanakan kelancaran kempen kesedaran undang-undang kepada rakyat.

“Tidak ada gunanya kita buat undang-undang tapi rakyat tidak rasa kelebihan undang-undang dan dia hendak hak dia, tapi tidak tahu kemana,” katanya.

Tahun lepas kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Jabatan Bantuan Guaman untuk pembelian tiga buah van digunakan sebagai klinik guaman bergerak yang diubah suai dengan kelengkapan perkhidmatan guaman untuk kemudahan rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.